My Add

Tuesday 6 August 2013

Ajaran Konfucius ganti komunisme di China

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Kerajaan republik China sedang menumpukan usaha untuk memperkembangkan ajaran Konfucius ke serata dunia dan meninggalkan fahaman komunisme yang pernah diamalkannya lebih 60 tahun secara beransur-ansur.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kebudayaan dan Kreatif, Perikatan Budaya dan Kreatif Asia Pasifik (APACC), Akademi Sains Sosial China, Prof. Dr. Yeih Cheih Chung berkata, penyebaran ajaran itu ke negara-negara Afrika dan Asia Tenggara adalah melalui pembinaan sekolah-sekolah Konfucius.

"Langkah ini berkait rapat dengan konsep yang dipromosikan Konfucius iaitu Chung Yung bermaksud kesederhanaan dalam setiap pergerakan kita. Konsep ini dilihat sebagai jalan penyelesaian dalam membendung gejala ekstremisme.

"Chung Yung memiliki tiga tahap utama dan China telah mengamalkan tahap tertinggi. Kepemimpinan China percaya sekiranya sesebuah tindakan perlu dilakukan, itu perlu sentiasa saling mengimbangi satu sama lain," katanya semasa berucap dalam Forum Meja Bulat Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Timbalan Pengerusi APACC, Zhang Jun dan Pengerusi GMM, Tan Sri Razali Ismail.

Dalam pada itu, Cheih Chung berpandangan, kerajaan republik tersebut perlu meningkatkan usaha diplomatiknya terhadap negara-negara yang terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan supaya isu tersebut dapat diselesaikan dengan berhemah.

Langkah itu katanya, termasuk mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan lawatan diplomatik ke negara terbabit terutama Jepun bagi menjernihkan hubungan.

"Sekiranya negara terlibat tidak memulakan inisiatif bersama, apa kata China sendiri ke negara-negara tersebut, ini tidak salah," ujarnya.

Berhubung kebarangkalian republik itu berperanan dalam usaha perdamaian di Syria dan Mesir, Cheih Chung berkata, China sentiasa melihat mereka sebagai sebuah kuasa yang berupaya menyebarkan semangat kesederhanaan di dunia ini.

Walau bagaimanapun jelasnya, ada kalanya republik berkenaan dilihat tidak terbuka bagi mengelakkan sebarang amalan di China dieksport ke luar tanah besar.

"Namun begitu, saya percaya pemerintah di sana amat arif berhubung perkara ini kerana mereka sedar bahawa hanya dengan keamanan, negara atau bangsa dapat maju," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment