My Add

Thursday 22 August 2013

AMMB kembang takaful, insurans nyawa

Oleh AZMAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: AMMB Holdings Bhd. (AMMB) mahu mengembangkan lagi bidang perniagaan takaful dan insurans nyawa di negara ini dengan menyasarkan kerjasama baharu yang akan terbentuk dan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

AMMB telah mengenal pasti syarikat-syarikat kerjasama yang berpotensi dan telah menyenarai pendek sebelum diserahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan rundingan di peringkat seterusnya.

Pengarah Urusan Kumpulan AMMB, Ashok Ramamurthy berkata, syarikat-syarikat yang disenarai pendek itu telah diserahkan kepada BNM bagi tujuan penilaian kewajaran pada bulan lalu dan pihaknya kini menunggu dalam dua atau tiga minggu untuk kelulusan.

Katanya, pihaknya menjangka untuk menyerahkan hanya satu syarikat paling berpotensi pada Oktober ini kepada BNM bagi tujuan kelulusan akhir.

"Pada waktu ini, kami menyenaraikan beberapa syarikat takaful dan insurans nyawa dari dalam dan luar negara dan BNM telah melakukan kajian penilaian kewajaran terhadap syarikat-syarikat tersebut.

"Bagi syarikat takaful dan insurans nyawa tempatan yang disenarai pendek, syarikat-syarikat itu adalah merupakan syarikat yang berpotensi dan mempunyai pengiktirafan yang baik di peringkat antarabangsa,’" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan kali ke-22 AMMB di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment