My Add

Wednesday 7 August 2013

Anjung Singgah kini beroperasi di Pulau Pinang terdekat

 * SHAHRIZAT Abdul Jalil menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa dan sepasang kain basahan kepada golongan gelandangan dan miskin, di Anjung Singgah YKN, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Tempat penginapan sementara bagi golongan gelandangan iaitu Anjung Singgah cawangan Pulau Pinang dijangka memulakan operasinya dalam masa terdekat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pusat sehenti yang keempat dibuka selepas Kuala Lumpur, Sarawak dan Johor itu akan menempatkan sebanyak 50 katil buat golongan gelandangan di negeri tersebut.

"Anjung Singgah menyediakan perkhidmatan secara holistik bagi golongan gelandangan untuk mendapatkan bantuan peluang pekerjaan, kemudahan kaunseling dan bantuan kebajikan.

"Berdasarkan rekod, Anjung Singgah telah membantu seramai 1,065 golongan gelandangan di ibu kota, Kuching dan Johor Bahru," katanya dalam majlis pengagihan sumbangan juadah berbuka puasa kepada lebih 700 golongan gelandangan di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd.

Dalam perkembangan sama, Shahrizat berkata, sehingga Julai lalu, seramai 861 gelandangan telah mendaftar dan mendapatkan perkhidmatan di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu dengan 670 orang daripadanya terdiri daripada lelaki manakala 191 yang lain perempuan.

Sementara itu, seorang gelandangan, Jamilah Hamid, 66, mengucapkan terima kasih kepada YKN di atas sumbangan juadah berbuka puasa tersebut.

"Saya bersyukur dengan sumbangan ini. Jarang sekali golongan seperti kami berpeluang makan makanan yang sedap seperti nasi minyak ini.

"Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan YKN membantu kami," katanya.

Menurut seorang gelandangan, Monica Lee, 65, sumbangan YKN itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan hariannya untuk membeli makanan.

"Ini merupakan kali ketiga saya menerima sumbangan YKN dan saya berharap majlis ini dapat diteruskan pada setiap tahun," katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment