My Add

Tuesday 6 August 2013

Anwar, Karpal digesa isytihar harta isu surat

GEORGE TOWN, SELASA, 06 Ogos, 2013: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh digesa mengisytiharkan harta untuk membuktikan mereka bersih daripada tuduhan rasuah.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam Pulau Pinang, Ranjit Singh Dillon, berkata tindakan itu perlu diambil kedua-dua pemimpin pembangkang bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Katanya, adalah perkara biasa sekiranya diminta polis bagi mengisytiharkan aset, sekali gus memudahkan siasatan berhubung tuduhan yang mengaitkan rasuah dan sogokan.

“Anwar individu yang menunggu untuk menjadi Perdana Menteri, manakala Karpal pula pengerusi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang.

“DAP sering melaungkan integriti dan ketelusan dengan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sudah pun mengisytiharkan hartanya. Justeru, saya fikir sudah tentu Karpal dan Anwar juga boleh melakukan perkara sama,” katanya.

Sabtu lalu, bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail, mendakwa dia menerima lebih 6,000 surat yang mengaitkan Anwar dan Karpal dengan kes rasuah serta sogokan membabitkan institusi kehakiman dan Jabatan Peguam Negara. 

Mazlan yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dipetik berkata, surat itu dipercayai dihantar oleh individu tidak dikenali ke rumahnya di Penanti, sejak seminggu lalu dalam pelbagai cara iaitu menerusi pos, bungkusan atau kotak yang ditinggalkan di depan rumah.

Ranjit berkata, dengan pengisytiharan aset, pemimpin pembangkang itu juga menyediakan peluang kepada agensi penguatkuasaan untuk melakukan siasatan. - BH

No comments:

Post a Comment