My Add

Thursday 22 August 2013

'Apa wayang mereka mainkan?'

Oleh NORAZRIN MARZUKI

 *KHALID Abu Bakar (empat dari kanan) menerima replika cek untuk tabung kebajikan PDRM bernilai RM30,000, daripada Pengerusi Koperasi PDRM, Datuk Mohd. Amir Sulaiman (empat dari kiri) dalam majlis Hari Raya Aidilfitri Koperasi Polis di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelar dakwaan segelintir pihak yang sentiasa mempertikaikan tindakan pasukan itu termasuk tindakan pihaknya melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Pulau Pinang dan menembak mati lima anggota kongsi gelap kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan dakwaan tidak berasas itu sebagai tidak adil dan meminta orang ramai tidak terpengaruh kononnya polis mengamalkan polisi menembak hanya untuk membunuh.

"Dahulu semasa beberapa pegawai dan anggota polis terkorban dalam insiden di Lahad Datu, kita dikatakan berdrama. Apabila tembak menembak berlaku, mereka kutuk bahawa polis hanya memerhati dan tidak buat kerja, tapi apabila penjenayah ditembak mati mereka menuduh polis zalim. Apa ni? Apa wayang yang mereka sedang mainkan?.

"Kita sedang bercakap mengenai ketenteraman awam, keselamatan rakyat kita. Jadi kami serius dalam isu ini dan kita tidak peduli apa orang cakap kerana kami akan teruskan dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini asalkan negara kita selamat dan aman damai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada pengguna jalan raya ketika Op Selamat 3 di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, di sini hari ini.

Polis awal pagi kelmarin menembak mati lima ahli kumpulan kongsi gelap yang amat berbahaya kerana terlibat dalam 10 kes bunuh di tiga buah negeri selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Pantai Jerejak, Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Khalid turut ditanya sama ada benar tuduhan sesetengah pihak termasuk ahli keluarga penjenayah yang dibunuh itu bahawa polis telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengenai khabar angin yang mula tersebar melalui beberapa laman sosial sejak semalam bahawa ada di antara ahli kumpulan kongsi gelap yang mahu melancarkan perang terhadap PDRM berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis itu, Khalid berkata, beliau tidak sesekali akan membenarkan perkara tersebut berlaku.

"Saya tidak akan sesekali membenarkan mana-mana penjenayah lancarkan perang terhadap kami semata-mata mahu membalas dendam. Tambahan pula, mana ada penjenayah yang akan menang jika bertempur dengan polis.

"Saya percaya apa yang tersebar itu hanya 'acah-acah' oleh pihak tertentu yang bertujuan menakut-nakutkan kita sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, polis telah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menconteng tembok di Balai Polis Kuala Langat dengan perkataan Rest in Peace (RIP) Geng 04 semalam.

"Kepada pihak yang kononnya berani menentang PDRM dengan menconteng tembok balai polis, identiti mereka telah pun kami kenal pasti dan tidak akan teragak-agak untuk menangkap mereka.

"Negara ini ada undang-undang yang diperuntukkan yang boleh mensabit kesalahan yang mereka lakukan," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment