My Add

Saturday 3 August 2013

AS lihat Malaysia sebagai rakan baik Asean

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melihat Malaysia sebagai rakan baik, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dalam mengerakkan keutamaannya bagi mengukuhkan hubungan dengan negara anggota Asean yang lain.

Timbalan Penasihat Keselamatan bagi Komunikasi Strategik US Ben Rhodes berkata ia akan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara memandangkan ia merupakan lawatan pertama Obama ke Malaysia.

Kali terakhir Presiden US melawat Malaysia ialah pada 30 Okt, 1966 oleh Presiden Lyndon B. Johnson.

"Presiden, sejak mula mengambil alih jawatan itu, memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan dengan Asia Tenggara secara amnya. Aspek ini dimanifestasi dalam hubungan biasanya dengan Asean, terutama kehadiran pada Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur setiap tahun.

"(Dan) pengukuhan hubungan di rantau ini, ekonomi dan politik, Malaysia merupakan bahagian penting dalam jalinan kerjasama dua hala yang baik dalam Asean," katanya pada rundingan meja bulat media di sini hari ini.

Rhodes berkata kesemua ini dijangka membentuk usaha yang berjaya oleh kedua-dua negara, terutama sidang Kemuncak Keusahawanan Global Keempat (GES) 2013 yang berlangsung di sini pada 11 Okt.

Beliau berkata Malaysia merupakan lokasi yang tepat untuk sidang kemuncak itu memandangkan ia merupakan negara yang ekonominya berkembang di rantau ini dan semakin dekat dengan ekonimi dunia.

Beliau berkata Obama dijangka bercakap mengenai pentingnya keusahawanan, terutama dalam mewujudkan peluang untuk generasi muda.

Rhodes berkata ketika negara menuju pertumbuhan ekonomi serta pewujudan kekayaan dalam ekonomi global hari ini, mereka memerlukan idea dan inovasi daripada individu dan bukan sahaja daripada perniagaan yang sudah berjaya.

"Saya jangka beliau (Obama) akan membincangkan cara bagaimana golongan muda boleh meneroka semangat keusahawanan dan mewujudkan perniagaan baharu, bagaimana mewujudkan peluang memandangkan akhirnya ia akan memacu kemajuan ekonomi, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau dan dunia," katanya.

"Dan, memandangkan Malaysia melangkah menuju 2020 sebagai ekonomi maju, pemulaan dan inovasi menerusi keusahawanan merupakan sesuatu yang berpotensi besar dan memberi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Rhodes, yang tiba di Malaysia semalam, mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan jawatankuasa pemandu GES. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment