My Add

Tuesday 6 August 2013

AS tutup kedutaan di 19 bandar

 *SEORANG askar memeriksa sebuah kereta di sebuah pos keselamatan di sebatang jalan menuju ke kedutaan Amerika Syarikat di Sanaa, Yemen kelmarin.
WASHINGTON, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan akan menutup pejabat kedutaan dan konsulatnya di 19 buah bandar di negara-negara Islam sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memberitahu tindakan itu diambil berikutan timbulnya ancaman serangan keganasan yang serius daripada kumpulan Al-Qaeda.

Penutupan dilakukan sebagai bukti terhadap komitmen AS untuk melindungi kakitangannya dan pelawat di kemudahan terbabit.

Pejabat diplomatik yang akan ditutup sehingga 10 Ogos ini adalah di Mesir, Jordan, Libya, Yemen, Arab Saudi dan Kuwait. Tidak terkecuali pejabat kedutaan AS di negara Afrika termasuklah Madagascar, Burundi, Rwanda dan Mauritius.

AS bagaimanapun membuka semula pejabat kedutaannya di Kabul dan Baghdad semalam.

Jumaat lalu, Pentadbiran Presiden AS, Barack Obama mengumumkan penutupan pejabat konsulat dan kedutaan sepanjang minggu ini.

Jabatan Negara AS pula mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga AS di seluruh dunia sambil memberi amaran yang kumpulan Al- Qaeda atau sekutunya mungkin akan menyerang kerajaan AS atau kepentingan Barat.

Perisikan AS turut menasihatkan Britain, Jerman dan Perancis supaya menutup pejabat kedutaan masing-masing di Yemen pada Ahad dan Isnin (semalam). Perancis semalam memberitahu bahawa ia akan menutup pejabat kedutaannya di Yemen sehingga esok.

Ahli Kongres AS, C.A. Dutch Ruppersberger yang juga wakil Ahli Jawatankuasa Perisikan memberitahu, ancaman serangan pengganas besar-besaran itu diketahui selepas perbualan pemimpin kanan Al-Qaeda di Semenanjung Arab diintip.

"Ini merupakan ancaman paling serius yang pernah saya lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Senator Republikan, Sax- by Chambliss. - Agensi/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment