My Add

Monday 12 August 2013

Askar ditembak selamat jalani pembedahan buang peluru

KANGAR, AHAD, 11 Ogos, 2913: Anggota tentera yang ditembak dipercayai oleh penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dekat sini semalam, selamat menjalani pembedahan membuang peluru yang terlekat di bahu kanannya hari ini.

Menteri Besar, Azlan Man yang melawat anggota tentera tersebut, Mohd. Azamuddin Azizan, 26, di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini memberitahu, keadaan mangsa sudah semakin pulih.

"Selepas ini anggota berkenaan akan menjalani fisioterapi memandangkan bahagian siku yang terkena peluru mengalami masalah saraf," katanya.

Mohd. Azamuddin dilaporkan cedera parah apabila terkena tembakan dipercayai dilepaskan oleh penyeludup ketika membuat rondaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Beliau yang bertugas dengan Rejimen Askar Melayu Diraja Ke-2 berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang terkena lima das tembakan di bahagian bahu, siku, paha dan belakang kedua-dua belah lututnya.

Azlan berkata, mangsa yang berasal dari Gua Musang, Kelantan kini ditemani kakaknya manakala ayah dan ibu pula dalam perjalanan untuk melawat mangsa.

Beliau berkata, buat sementara waktu mangsa akan terus dirawat di HTF.

Sementara itu, Azlan menasihatkan rakyat Perlis yang melancong atau membeli-belah ke Thailand supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran berlakunya kes seperti itu.

"Pastikan masuk dengan menggunakan pas sempadan dan menggunakan jalan yang biasa digunakan untuk mengelak sebarang kemungkinan berlaku," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu memastikan tidak mengunjungi tempat-tempat berisiko tinggi yang boleh mengundang bahaya.

Azlan berkata, sebaiknya mereka perlu pulang segera ke Malaysia selepas selesai membeli-belah supaya tidak terlibat dalam sebarang kejadian yang tidak diingini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment