My Add

Saturday 3 August 2013

Bank perlu pastikan wang dalam ATM mencukupi: FOMCA

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengingatkan bank untuk memastikan wang tunai di dalam mesin juruwang automatik (ATM) mencukupi sepanjang cuti perayaan.

Timbalan Presidennya, Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata FOMCA menerima banyak aduan mengenai masalah kehabisan wang tunai dalam ATM dan kerosakan mesin itu yang menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran.

"Penggunaan wang tunai ketika musim perayaan amat diperlukan terutama apabila ramai pengguna melalui perjalanan yang jauh untuk pulang ke kampung masing-masing.

"Namun sering kali mesin ATM mengecewakan kerana ia kerap kehabisan tunai dan rosak serta mengambil masa yang agak lama untuk diambil tindakan," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Justeru, katanya, bank perlu bersiap sedia dari awal dan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan mesin ATM sentiasa beroperasi dengan baik selain mempunyai wang tunai mencukupi.

Selain itu, beliau turut meminta peniaga menyediakan perkhidmatan bayaran secara debit bagi memberi alternatif kepada pengguna menggunakan kad debit selain wang tunai.

Seorang suri rumah, Azlina Zahari, 27, berkata mesin ATM adalah satu keperluan kerana orang awam akan banyak menggunakan mesin itu, kerana perlu berbelanja untuk membuat persiapan raya.

"Bagi mereka yang tidak suka membuat pengeluaran tunai dalam jumlah yang besar menerusi satu transaksi, mereka akan kerap menggunakan ATM.

"Namun, jika mesin ATM selalu kehabisan tunai atau rosak, ia memang satu perkara yang menyusahkan," katanya.

Seorang petugas swasta, Rosdi Mohd, 31, pula berkata, tidak semua pengguna memiliki kad kredit, justeru penggunaan ATM amat penting apatah lagi ketika saat kecemasan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment