My Add

Saturday 3 August 2013

Bekas penjawat awam dipenjara 10 tahun miliki campuran dadah

GEORGE TOWN, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Seorang bekas penjawat awam hari ini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki campuran dadah seberat 16.66 gram.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Teck Meng memerintahkan tertuduh, Abdul Razak Sero, 57, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2012, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan pilihan.

Tertuduh yang merupakan bekas pemandu di Jabatan Kerja Raya, mengaku memiliki campuran dadah jenis heroin, morphine dan monoacetylmorphines di Jalan Kampung Pisang, Ayer Itam, pukul 11.30 malam, 7 Mei 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara dan atau sekurang-kurangnya 10 sebatan.

Tertuduh dan teman wanitanya, Nur Hazwani Jamaluddin, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Nur Hazwani, 22, dibebaskan selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Yagoo dan R. Dev Chander. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment