My Add

Saturday 3 August 2013

Berlaku pembaziran skala besar

Oleh mohd. shariza abdullah

JERLUN, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Hasil siasatan dalaman mendapati banyak kepincangan berlaku dalam urus tadbir Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di bawah kerajaan negeri terdahulu, termasuk pembaziran pada skala besar yang memburukkan lagi keadaan kewangan institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan perkara itu sebagai memalukan dan banyak tindakan dilakukan oleh pengurusan Kuin terdahulu di luar kelaziman serta terdapat juga perkara dilihatnya tidak beretika.

Beliau berkata, antaranya ialah Kuin mendapat lesen daripada Kementerian Pendidikan tetapi menyerahkan operasi kuliahnya kepada syarikat yang ditubuhkan iaitu Insaniah Holdings Sdn. Bhd. (IHSB) dan pada masa sama IHSB mewujudkan pula anak syarikat.

Menerusi cara itu, kata beliau, tenaga pengajar yang bergaji lumayan diambil dan wujud amalan nepotisme dalam kalangan kakitangan di peringkat anak syarikat berkenaan.

"Didapati ada dalam kalangan mereka ini tidak bertauliah dan berkelayakan untuk memegang jawatan yang diberikan tetapi bergaji lumayan, akhirnya menjadi mangsa adalah pelajar.

"Saya bimbang melihat para pelajar yang sudah mendapat ijazah, tetapi menghadapi masalah mendapat pekerjaan kerana kelulusan itu tidak diiktiraf oleh majikan, selain dikhuatiri pelajar tidak memenuhi piawaian bagi kuliah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Sahur Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam yang disertai kira-kira 500 orang di Kampung Imam di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, perkara paling ketara ialah berlaku pembaziran kewangan pada skala besar di IHSB menyebabkan Kuin terpaksa menanggung hutang, sekali gus sukar membuat keuntungan dengan beban ditanggung, sedangkan operasi universiti lain mendatangkan keuntungan.

Kata beliau, jika tumpuan terpaksa diberikan untuk meneruskan operasi Kuin seperti mana yang dimulakan oleh pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, maka kerajaan Kedah sekarang tidak boleh menjalankan atau berbelanja bagi projek-projek lain.

"Kalau hendak berbelanja untuk memperbaiki sekolah, jalan raya atau surau perlu dilupakan sahaja kerana semua perbelanjaan kita hanya untuk membayar hutang Kuin yang mencecah RM52 juta hingga RM55 juta setahun. Itu yang tidak dapat kita terima," ujar beliau.

Mukhriz menegaskan, kerajaan BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika negeri ini diterajui Pas sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri yang diterajuinya pada masa ini cuba menyelesaikan masalah-masalah berkenaan meskipun ada pihak tidak berpuas hati atau wujud mainan politik pihak-pihak tertentu untuk menggagalkannya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kedah faham, memberi kerjasama dan menyokong apa juga keputusan kerajaan negeri bagi menangani masalah berkenaan tanpa unsur politik.

"Kita bersikap bertanggungjawab atas perkara yang kita lakukan demi menjaga kepentingan pelajar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment