My Add

Thursday 8 August 2013

Bomba siap siaga bantu lancarkan aliran trafik lebuh raya

TAPAH, RABU, 07 Ogos, 2013: Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap siaga menghulurkan sebarang bantuan bagi memastikan kelancaran trafik di sepanjang lebuh raya ketika musim perayaan ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata 16 pos kawalan disediakan di beberapa lokasi di lebuh raya utama yang membabitkan penugasan anggota, rondaan, kelengkapan jentera menyelamat dan sistem komunikasi yang menghubungkan polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

"Kesemua kekuatan yang kita ada akan beroperasi 24 jam sehari sehingga 18 Ogos ini bagi memastikan kelancaran trafik.

"Kita akan memperhebatkan kawalan kita dan menjangkakan trafik akan sesak pada 14 Ogos dengan rata-rata pengguna akan pulang pada tarikh berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan udara di sekitar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Subang ke Tapah, hari ini.

Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata, statistik Ops Raya kendalian bomba sejak lima hari lalu, merekodkan 65 kemalangan dan 23 kematian, berbanding 11 kematian dalam tempoh sama, tahun lalu.

Abdul Rahman menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati dan menjadi pemandu yang berhemah sepanjang perjalanan ke destinasi masing-masing.

Mengulas mengenai tinjauan hari ini, beliau berkata trafik lancar dan tiada kesesakkan di lebuhraya PLUS. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment