My Add

Saturday 3 August 2013

Bot karam, 36 masih hilang

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY dan FARIK SALLEH

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Sebanyak 36 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri hilang sementara lapan yang lain dapat diselamatkan dalam kejadian bot pancung karam dipukul ombak kuat ketika menyusup keluar untuk pulang ke Indonesia, di perairan Tanjung Siang berdekatan Desaru semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam pada kedudukan 13.5 batu nautika dari pantai Tanjung Siang itu, bot yang dipercayai membawa lebih muatan dipercayai mula karam selepas kumpulan PATI tersebut bertolak tidak lama selepas waktu berbuka puasa, memaksa mereka berpaut pada bot tersebut sebelum dihanyutkan arus.

Sehingga pukul 11 malam tadi, hanya lapan daripada mereka berjaya diselamatkan dan kini ditahan di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili manakala operasi mencari dan menyelamat terpaksa disambung esok berikutan cuaca gelap.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan Polis Marin dan Maritim Malaysia masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Kami menerima maklumat sudah lambat sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Kejadian dipercayai berlaku petang semalam dalam cuaca ribut antara perairan Sedili dan Penawar.

"Bot itu dinaiki lebih daripada 40 PATI yang dalam perjalanan ke Batam dan setakat ini lapan berjaya diselamatkan, manakala bakinya masih hilang," katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari hari ini oleh sekumpulan nelayan yang menjumpai tiga mangsa sedang berpaut pada tong plastik manakala seorang lagi diselamatkan bot Maritim Malaysia yang melalui kawasan itu ketika meronda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment