My Add

Saturday 10 August 2013

BRN tangguh rundingan

BANGKOK, JU,AAY, 09 Ogos, 2013- Timbalan Perdana Menteri Thailand, Pracha Promnok, semalam mengesahkan Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah menangguhkan rundingan damai dengan kerajaan sehingga Thailand 'memberi reaksi positif terhadap permintaan mereka'.

Pracha yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Malaysia, yang bertindak sebagai pemudah cara rundingan damai bahawa kumpulan pemisah BRN mahu menangguhkan pusingan selanjutnya rundingan damai.

BRN mahu menunggu sehingga Thailand membuktikan pendirian yang jelas terhadap tuntutan kumpulan tersebut.

Sebelum ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mereka akan menetapkan tarikh bagi rundingan seterusnya selepas perjanjian gencatan senjata tamat pada 18 Ogos ini.

BRN pada April lalu mengutarakan lima tuntutan kepada kerajaan Thailand sebagai pertukaran bagi menghentikan keganasan.

Antara tuntutan itu, Thailand mesti menerima peranan Malaysia sebagai orang tengah bukan sebagai pemudah cara; rundingan damai akan dihadiri Melayu Patani yang diketuai BRN dan kerajaan Thailand; dan negara anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan lain dibenarkan mengikuti rundingan tersebut.

Selain itu, Thailand mesti membebaskan kesemua suspek yang ditahan dan menggantung serta membatalkan kesemua waran tangkap berkaitan kes keselamatan tanpa sebarang syarat serta status BRN mesti diiktiraf sebagai pergerakan pembebasan Pattani dan bukannya kumpulan pemisah.

Pracha sementara itu berkata, Majlis Keselamatan Negara akan mengadakan satu mesyuarat di wilayah selatan pada minggu depan.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang dijangka mengemukakan langkah-langkah lebih jelas bagi menangani pergolakan di selatan Thailand. - AGENSI

No comments:

Post a Comment