My Add

Saturday 3 August 2013

Budak 5 tahun selamatkan adik daripada kebakaran

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

 * ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Kubang Depu, Besut hari ini. Gambar kecil, Mohd. Syawal Mohd. Shukri. - UTUSAN
BESUT, SABTU, 03 Ogos, 2013: Biarpun baru berusia lima tahun, Mohd. Syawal Mohd. Shukri menjadi hero apabila berjaya menyelamatkan dan membawa keluar adiknya dari rumahnya yang sedang terbakar dalam kejadian di Kampung Kubang Depu dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Mohd. Syawal sedang bermain dalam bilik tidur mereka bersama adiknya, Mohd Syakir, 4, sebelum menyedari api sedang marak di bahagian bilik itu dan dapur rumah mereka.

Dalam keadaan cemas itu, Mohd. Syawal terus memaut adiknya lalu membawanya ke rumah nenek mereka, Fatmah Sulaiman, 55, yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka sambil memaklumkan neneknya mengenai kejadian itu.

Dia kemudian berlari ke luar sejauh kira-kira satu kilometer untuk mencari bapanya dan memberitahu kejadian itu sambil menjerit meminta pertolongan sebelum disedari jiran dan penduduk kampung,

Ketika kejadian, bapa dan ibu mereka, Mohd. Shukri Mohd. Nor, 36, dan Huslina Abd. Rahman, 26, beada di tempat kerja dengan membawa bersama adik bungsu mereka, Mohd. Syaril, 3.

"Sepatutnya hari ini saya mula bekerja sebagai buruh binaan tetapi kerana tidak tahu tempatnya, saya ajak isteri dan anak bongsu kami sebagai teman untuk mencari tempat kerja saya itu," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, ketika dalam perjalanan pulang dengan motosikal, dia melihat kepulan asap hitam akibat kebakaran dari arah kampungnya lalu mula rasa tidak sedap hati dan mengesyakki kejadian buruk berlaku.

Sangkaannya tepat apabila mendapati rumahnya sendiri yang dijilat api dan dia kemudian bergegas memasuki rumah itu setelah menyangka dua anaknya iaitu Mohd. Syawal dan Mohd. Syakir masih berada di dalam rumah yang terbakar itu.

Namun dia lega sebaik diberitahu oleh jirannya bahawa kedua-dua anaknya itu selamat dan berikutan kejadian itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang membabitkan kerugiaan kira-kira RM28,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Ridzuan Mamat berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dua jentera bomba termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama 10 anggota berkejar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian didapati hampir 90 peratus rumah kayu lama itu sudah musnah dijilat api dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad meluangkan masa kira-kira 45 minit menziarahi mangsa dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

Tambahnya, mangsa kebakaran itu akan diberi perhatian segera bagi memastikan keluarga lima beranak itu tidak menghadapi masalah tempat tinggal ekoran kejadian malang itu apatah lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment