My Add

Saturday 3 August 2013

'Bukti kita di pihak benar'

Oleh THOMAS CHONG

 * Najib Tun Razak bergambar bersama sebahagian pengamal media yang menerima Pingat Kedaulatan Negara (P.K.N) dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan majlis penganugerahan pingat berkenaan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Peranan media yang menyebar maklumat tepat mengenai kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah telah mengukuhkan sokongan rakyat terhadap usaha menentang pengganas sekali gus menyumbang kepada kejayaan menumpaskan musuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, media berperanan penting dalam menyebarkan maklumat yang menunjukkan Malaysia sebagai pihak yang benar dalam kejadian pencerobohan itu.

"Peranan media membentuk fikiran rakyat adalah amat penting, bukan sahaja masyarakat Sabah dan Malaysia tetapi masyarakat antarabangsa perlu diberi maklumat tepat bahawa kita di pihak yang benar.

"Benar dari segi kenyataan, benar dari segi undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan serta benar dari segi moral. Rakyat Sabah membuat pilihan terbuka bahawa mereka mahu merdeka di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian Pingat Kedaulatan Negara kepada pengamal media di Seri Perdana di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Seramai 227 wartawan dan jurufoto termasuk lapan dari Utusan Malaysia dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara oleh Perdana Menteri sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka yang membuat laporan dan menyampaikan maklumat secara telus mengenai kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Petugas media Utusan Malaysia yang menerima Pingat Kedaulatan Negara ialah Borhan Abu Samah, Mohammed Hazli Mohammed Hassan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahim, Abdul Rashid Abdul Rahman, Mohd. Rafie Azimi, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz, Mohd. Riduan Rizal Ahmad dan Azrul Edham Mohd. Aminuddin.

Perdana Menteri berkata, liputan media yang tepat membawa keadaan di mana rakyat Malaysia termasuk rakyat keturunan Suluk di Sabah berdiri teguh di sebalik tindakan yang diambil kerajaan Malaysia.

"Ukuran sokongan rakyat ini boleh dilihat melalui pelbagai majlis seperti kutipan derma yang menyaksikan rakyat pelbagai kaum tampil beri sumbangan.

"Peristiwa pencerobohan ini telah mencetuskan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata, rakyat Malaysia mesti terus bersatu untuk menentang sebarang ancaman terutamanya ancaman dari luar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment