My Add

Tuesday 6 August 2013

Cadang wujud pusat pemulihan sivik untuk individu permainkan isu sensitif

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan supaya pusatpemulihan sivik diwujudkan untuk membimbing individu yang mempermain-mainkan isu sensitif di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Dr. Hasan Mad berkata, pusat pemulihan itu perlu memandangkan ada sesetengah golongan sengaja menyentuh isu sensitif seperti agama sehingga mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak.

"MPM merasakan individu seperti Maznah Mohd. Yusof, Alvin Tan, Vivian Lee, Namewee wajar dihantar ke pusat pemulihan sivik bukan kem tahanan atau lokap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa individu menyiarkan gambar serta video menyentuh sensitiviti kaum dan agama Islam di laman sosial, sekali gus mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Menurut Hassan, pembinaan pusat tersebut perlu disegerakan memandangkan rakyat di negara ini semakin tidak sensitif dan begitu mudah menghina agama Islam.

"Penubuhan pusat ini antara lain bagi memberi bimbingan kaunseling, memperkukuh semangat jati diri, patriotisme, nilai budaya dan adat resam individu terbabit," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hasan membidas tindakan pemimpin parti DAP yang membuat laporan polis serta melemparkan tuduhan menghasut terhadap ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu.

"Apa yang beliau nyatakan adalah secara bersahaja dan sebagai pemimpin negara, beliau wajar menegur pihak berkenaan daripada terus berbuat demikian kerana tindakan itu boleh menjejaskan keharmonian etnik dan agama di negara ini," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan Islam sentiasa ditohmah dan diancam, tentulah hak pemimpin Islam seperti Muhyiddin untuk menyuarakan kebimbangan terhadap situasi itu.

"Itu hak beliau menegur. Mengapa pula teguran pemimpin berhubung isu-isu seperti itu boleh ditakrifkan sebagai menghasut?," katanya.

Katanya, MPM akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam usaha mengugat keharmonian negara.

"Hal ini kerana terdapat tanda-tanda provokasi terancang dan berterusan dalam usaha memecahbelahkan bangsa Melayu dan rakyat beragama Islam di negara ini.

"Ini adalah satu usaha yang amat jahat dan MPM yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam terbesar di negara ini tidak akan berdiam diri membiarkan usaha ini berterusan,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment