My Add

Thursday 22 August 2013

Campur tangan PM dalam pemilihan MIC satu pembohongan

 G. Palanivel, R. Ramanan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Laporan dalam porta berbahasa Inggeris yang mengaitkan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ‘menyelesaikan’ kemelut bagi pertandingan kerusi Presiden MIC September depan adalah satu pembohongan yang tidak berasas.

Sebaliknya, hanya Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berhak dan membuat keputusan berhubung isu parti dengan bantuan pemimpin-pemimpin kanan MIC yang lain.

Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, laporan itu sengaja dikeluarkan bagi mengelirukan perwakilan dan ahli MIC bahawa terdapat campur tangan ‘orang luar’ termasuk Perdana Menteri bagi mengaibkan Palanivel oleh sekumpulan pemimpin yang tidak menyenangi popularitinya.

“Mana boleh Perdana Menteri campur tangan dengan hal dalaman MIC? Yang berkuasa dalam MIC adalah presiden parti, ini adalah agenda jahat sekumpulan pihak yang ternyata takut dengan sokongan perwakilan dan ahli parti terhadap beliau.

“Kumpulan ini cuba mensabotaj presiden parti demi agenda politik kotor mereka. Menggunakan nama Perdana Menteri kononnya beliau telah meminta Timbalan Presiden, Datuk Seri S. Subramaniam supaya berkompromi adalah tidak benar dan berniat jahat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ramanan mengulas laporan sebuah portal berbahasa Inggeris yang mendakwa Perdana Menteri telah membantu dengan membuat tawaran tertentu supaya beberapa pemimpin tertinggi MIC tidak lagi bertikam lidah terhadap pertandingan bagi kerusi presiden dan timbalan presiden.

Dakwaan portal tersebut, dengan bantuan Najib, pemimpin MIC berjaya berkompromi, malah ‘pemimpin’ yang sebelum ini dikaitkan mungkin bersaing bagi kerusi Presiden terpaksa ‘berkorban’ demi masa depan dan hala tuju parti.

Dalam pada itu, Ramanan turut mengecam pemimpin MIC yang cuba menghasut para perwakilan dengan khabar angin yang boleh mengelirukan mereka.

“Berita tersebut telah ditulis oleh wartawan yang sumbernya merupakan seorang pemimpin kanan MIC. Perkara seperti ini boleh mengundang ketidakharmonian dalam kalangan ahli dan pemimpin parti. Tolong hentikan perbuatan murahan seperti ini," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa pemimpin lain ‘terpaksa’ mengundur diri daripada bersaing bagi merebut kerusi Presiden berikutan sokongan tidak terhingga daripada perwakilan, malah jumlah pencalonan beliau sudah melebihi 3,000 daripada peringkat cawangan.

“Sokongan terhadap Palanivel sudah hampir 90 peratus, ini telah menggerunkan pihak lawan yang bercita-cita untuk menggantikan beliau. Mereka tidak menyangka Palanivel akan mendapat pencalonan daripada peringkat cawangan sebegitu banyak," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment