My Add

Tuesday 13 August 2013

Contohi ketegasan Johor dalam isu surau

 Khairul Anwar
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Negeri-negeri lain digesa mencontohi ketegasan pihak berkuasa Johor terutama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu surau yang dijadikan tokong.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihak polis dengan kerjasama MAINJ bertindak pantas menahan pengusaha resort berkenaan dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, ketegasan itu membuktikan pihak berkuasa negeri Johor mempunyai iltizam tinggi dalam usaha menjaga kesucian Islam di negara ini.

"SukaGuam mahu mereka yang terlibat disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mengaibkan agama mana-mana golongan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis hari ini menahan seorang lelaki yang merupakan pengusaha resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor untuk membantu siasatan mengenai sebuah surau di premis tersebut yang dijadikan tempat ritual keagamaan oleh penganut bukan Islam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 petang di resort berkenaan.

Kelmarin, penduduk sekitar perkampungan nelayan berdekatan resort itu gempar selepas bangunan yang didirikan di resort tersebut sebagai surau dicemari dengan upacara sembahyang agama lain.

Upacara sembahyang yang dijalankan dipercayai oleh penganut agama Buddha itu disedari seorang pengunjung resort tersebut yang ingin menunaikan solat asar.

Menurut Khairul Anwar, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sehubungan itu, tambah beliau, mana-mana pihak yang cuba mempersenda agama Islam wajib ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment