My Add

Wednesday 7 August 2013

CUEPACS bantu kempen jalan raya

SEREMBAN, SELASA, 06 Ogos, 2013: Bimbang dengan peningkatan kemalangan maut yang melibatkan kakitangan awam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini turun padang membantu kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang diadakan di sini hari ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sepanjang tahun lalu, kira-kira 30 peratus daripada mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di negara ini adalah kakitangan awam.

Katanya, perangkaan tersebut amat membimbangkan dan kesatuan itu tidak boleh berdiam diri dengan membiarkan jabatan dan agensi yang berkenaan berhempas pulas melakukan usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

"CUEPACS menganggap keselamatan orang ramai terutamanya kakitangan awam adalah tanggungjawab bersama dan kami tidak mahu dianggap hanya menumpu kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan rundingan gaji dan faedah penjawat awam semata-matam'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2013 anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang dekat sini hari ini.

Pada kempen itu, CUEPACS mengedarkan bubur lambuk yang disediakan sendiri oleh ahli-ahli kesatuan itu kepada para pemandu sambil menyampaikan mesej tentang keselamatan jalan raya.

Selain JKJR, kempen itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Hotel Royale Bintang, Hospital Pakar Seremban (KPJ) dan Kelab Lions Negeri Sembilan.

Seramai empat ahli Exco kerajaan negeri yang terdiri daripada Datuk Ismail Lasim, Datuk Hasim Rusdi, Abu Ubaidah Redza dan Abd. Razak Ab. Said turut membantu menjayakan kempen itu - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment