My Add

Tuesday 13 August 2013

DAP adakan mesyuarat tergempar

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

 * LIM Guan Eng mengelak bertemu wartawan yang ingin mendapatkan reaksi beliau sejurus mesyuarat tergempar parti DAP yang dipercayai berhubung pemilihan Jawatankuasa CEC di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.
PULAU PINANG, ISNIN, 12 Ogos, 2013: DAP yang semakin tertekan akibat diarahkan mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti, akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara berkenaan malam ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat berkenaan akan berlangsung di Kuala Lumpur dan akan dihadiri oleh semua pemimpin utama parti itu.

"Malam ini kita akan bincangkan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berkeras mahukan DAP mengadakan semula pemilihan CEC walaupun kita tidak diberi sebab terperinci mengenai perkara itu.

"Saya berpendapat mereka tidak ada penjelasan tepat mengapa DAP harus adakan pemilihan semula dan sebab itu mereka berbuat demikian," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Isu kepincangan pemilihan CEC parti itu pada Disember tahun lepas, terus berlarutan apabila DAP berdolak-dalik dan enggan mengadakan pemilihan semula atas alasan mereka telah membetulkan kesilapan memalukan itu.

ROS pada 30 Julai lalu, mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP selain mendakwa tidak diberi kerjasama ketika siasatan dijalankan.

Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian.

Antara dakwaan itu adalah DAP gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada pemilihan CEC ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 di Pulau Pinang pada 15 Disember tahun lalu.

Walaubagaimanapun, Guan Eng dilapor mempersoalkan peruntukan undang-undang yang digunakan ROS dalam keputusan tersebut dan tidak akan mematuhi arahan itu selagi tuntutannya mengenai perkara berkenaan tidak dijelaskan sepenuhnya

Selain isu CEC, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, mereka turut akan membincangkan mengenai peningkatan kes jenayah yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, mesyuarat tersebut yang diadakan di Ibu Pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam ini berakhir kira-kira pukul 10 malam.

Walau bagaimanapun, usaha pemberita mendapatkan kenyataan pemimpin DAP berhubung hasil mesyuarat itu gagal selepas Guan Eng dan Pengerusi DAP, Karpal Singh enggan memberi sebarang komen. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment