My Add

Wednesday 7 August 2013

DAP perlu pikul tanggungjawab

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

PULAU PINANG, SELASA, 06 Ogos, 2013: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang supaya lebih bertanggungjawab terhadap kemerosotan kawasan tanah tinggi di negeri itu.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan dengan proaktif dalam perkara tersebut bagi mengelak lebih banyak kes penerokaan bukit secara haram berlaku.

"Siapa yang patut bertanggungjawab dalam hal ini? CAP berpendapat, individu yang berada di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) seharusnya boleh melihat kemusnahan yang berlaku.

"Pemeriksaan tapak seharusnya dilakukan oleh MPPP manakala jurutera geologi mesti turun padang untuk memeriksa apa yang berlaku kepada alam sekitar dan bukan menunggu orang awam memaklumkan tentang perkara berkenaan, baharu hendak bertindak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas Syarikat General Accomplishment Sdn. Bhd., yang didenda RM30,000 oleh mahkamah kerana membersihkan tanah bukit dan menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran di Bukit Relau pada Mei lalu.

Mengulas tentang hukuman berkenaan, Mohamed yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, ketika menjatuhkan hukuman terbabit, hakim telah memberi ucapan berkobar-kobar tentang keperluan untuk menghantar mesej yang kuat terhadap penjagaan kawasan bukit tetapi denda yang dikenakan tidak setimpal.

"Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 70 A (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 tetapi hukuman yang dijatuhkan tidak mencapai hukuman maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 70 A (9) iaitu RM50,000 atau penjara selama lima tahun," katanya.

Sambil meluahkan perasaan kecewa berikutan sikap sambil lewa kerajaan negeri terhadap isu berkenaan, Mohamed berkata, jika penguatkuasaan terus lesu, pelbagai kesan buruk akan berlaku.

"Kita boleh lihat tompok hodoh akibat pembersihan bukit di Batu Maung, Balik Pulau, Tanjung Bunga, Bukit Gambir, Tanjong Tokong, Paya Terubong, Teluk Bahang dan Sungai Ara.

"Saya ingin bertanya, adakah semua pembangunan di tempat berkenaan mematuhi syarat dan undang-undang?," katanya.

Menurutnya, rakyat negeri itu diberi gambaran palsu bahawa MPPP serius dalam mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit, namun keputusan mahkamah mendedahkan perkara sebaliknya.

"MPPP lambat memaklumkan siapa yang bertanggungjawab dalam kejadian membersihkan Bukit Relau secara haram.

"Apabila perkara ini dibangkitkan dan seorang wartawan telah membongkar identiti syarikat berkenaan sebelum MPPP mengumumkan, maka mereka tidak mempunyai pilihan kerana isu telah diketahui umum dan terpaksa mengambil tindakan," katanya.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment