My Add

Sunday 4 August 2013

DAP rancang tubuh parti baharu?

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

SEREMBAN, SABTU, 03 Ogos, 2013: Barisan kepimpinan DAP didakwa sedang memberi tumpuan kepada usaha untuk menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan prinsip kronisme bagi memperjuangkan nasib satu kaum sahaja.

Malah, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass (gambar) turut mendakwa, inisiatif itu merupakan rentetan atau jalan penyelesaian bagi pemimpin DAP daripada menjalankan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

"Kalau benar mereka telus dan adil, 10 kali diadakan CEC pun, ahli akan tetap pilih mereka. Apa yang perlu dibimbangkan? Sebaliknya mereka memberi pelbagai alasan serta menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Oleh sebab itu, mereka kini memberi tumpuan untuk membatalkan parti tersebut supaya dapat menubuhkan parti baharu yang bakal dipimpin oleh kroni mereka, sekali gus terus menguasai parti yang sepatutnya menjadi milik rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi DAP Cawangan Nilai Perdana, S. Rajasheger yang telah menerima surat pemecatan keahlian daripada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Kok Wai pada 6 Julai lalu.

Kontroversi pemilihan CEC DAP semakin menarik selepas pendedahan Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) tulisan Father Augustus Chen yang menyatakan secara terperinci penipuan dalam pemilihan itu sejak 47 tahun lalu.

Laporan itu pertama kali didedahkan Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan pada 20 Julai lalu yang menerima nya dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Tamil melalui kiriman pos.

Ekoran pendedahan buku itu, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa, Father Chen pernah menjadi rakan karib kepada Guan Eng sekali gus memperlihatkan buku tersebut mempunyai kredibiliti.

Menurut Dass, melalui penubuhan parti baharu itu, pemimpin DAP boleh melantik anggota yang hanya benar-benar memberi sokongan kepada mereka tanpa mempersoalkan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat.

"Mereka mahu anggota yang angkat bendera parti menyokong mereka, tetapi mana-mana anggota yang mempersoalkan mereka, akan dicantas.

"Itulah yang berlaku terhadap ramai ahli sekarang yang dikenakan tindakan dipecat, banyak cawangan yang ahlinya terdiri dalam kalangan orang India tidak dipedulikan malah diabaikan," tegasnya.

Dakwa beliau, pemimpin sedia ada kini bersikap 'kuku besi' dan membuat keputusan sesuka hati tanpa berpandukan pegangan demokratik yang konon dilaungkan menjadi prinsip utama parti berkenaan.

"Mereka langsung tidak memberi ruang kepada ahli untuk bersuara, sebagai contoh isu ahli yang dipecat, mereka semua hanya diberi notis pemecatan.

"Sedangkan jikalau mengikut perlembagaan, sebuah jawatankuasa akan meneliti sesuatu dakwaan sebelum memanggil ahli berkenaan untuk disiasat dan ahli juga perlu diberi masa 14 hari untuk membuat rayuan. Ini tidak, mereka hantar surat pecat ahli begitu sahaja.

"Mereka cuba cantas orang India dan saya lihat DAP semakin didominasi oleh satu kaum iaitu Cina. Lebih menyedihkan, mereka pandai bersandiwara," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment