My Add

Saturday 3 August 2013

Ditembak ketika memandu

Oleh AZRAI MOHAMMAD
 
 * PASUKAN Polis Forensik memeriksa sebuah kenderaan mangsa tembak di Pandan Indah, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Dalam tempoh tidak sampai 10 hari selepas dua kejadian tembak yang menarik perhatian rakyat negara ini, satu lagi kes sama berlaku, kali ini melibatkan seorang pekerja kedai emas.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi, mangsa cedera parah selepas ditembak dua individu menaiki motosikal di Pandan Indah dekat sini.

Mangsa, Wong Foo Yui, 34, sebelum itu memperlahankan kereta jenis Toyota Camry dipandunya ketika menghampiri petak kuning di persimpangan berhampiran sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, tiba-tiba dua lelaki berjaket hitam menaiki motosikal jenis Yamaha menghampiri kenderaan mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan.

Menurut beliau, salah satu tembakan itu mengenai bahu kanan mangsa.

"Mangsa yang tergamam dan dalam kesakitan memecut kenderaannya ke Balai Polis Pandan Indah. Kedua-dua suspek yang berusia antara 20 dan 30 tahun melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Isnin lalu, pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut ditembak di ibu negara dipercayai oleh pembunuh upahan. Pembunuhnya melarikan diri dengan teksi.

Dua hari sebelum itu, pengerusi badan pemantau jenayah, MyWatch, R. Sri Sanjeevan juga parah ditembak dua lelaki ketika berhenti di lampu isyarat di Taman Cempaka, Bahau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, menurut Amiruddin, sebaik sahaja tiba di balai polis, mangsa yang berasal dari Cheras diberi rawatan segera dan dikejarkan ke Hospital Ampang, keadaannya kini dilaporkan stabil.

Beliau meminta orang ramai yang berada di sekitar lokasi semasa kejadian, khususnya pemandu-pemandu di belakang kereta mangsa tampil memberi maklumat.

"Siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengesan kedua-dua suspek dan anggota Unit Forensik sedang melakukan siasatan bagi mengesan kelongsong peluru di tempat kejadian," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment