My Add

Saturday 3 August 2013

Dua ditahan bersama lesen memandu mangsa bunuh

ALOR GAJAH, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Kes pembunuhan seorang peniaga yang ditemui mati dengan isi perut terburai di Kampung Telok Gong, Masjid Tanah dekat sini kelmarin, dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, hasil siasatan dan maklumat yang diterima, polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu.

Susulan penahanan mereka, polis menemukan senjata yang dipercayai digunakan berupa sebilah pisau, beberapa pakaian yang dipakai oleh suspek ketika kejadian serta lesen memandu, beg duit dan wang RM230 milik mangsa.

Menurutnya, pembunuhan lelaki dari Taman Malim Jaya itu dipercayai berunsurkan dendam setelah suspek pertama yang juga seorang bekas banduan dikatakan gagal membayar hutang perabot yang tertunggak beberapa bulan.

"Suspek pertama ditahan pada pukul 7.30 malam di kawasan perumahannya di Taman Bidara Permai dan bersama-sama suspek berusia 42 tahun itu, polis merampas sebilah pisau masih bersarung dalam bakul motosikalnya dan pakaian yang dipakai ketika kejadian.

"Seorang lagi suspek berusia 29 tahun iaitu rakan suspek pertama ditahan di rumahnya di Padang Kemunting pada pukul 8.30 malam dan berjaya merampas telefon bimbit, beg duit mengandungi wang RM230 yang mungkin saki baki yang tinggal.

"Polis percaya dengan penangkapan dua suspek ini berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh 24 jam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Oh Son Liong, 55, seorang peniaga perabot dan barangan elektronik ditemui mati dengan enam kesan tikaman di kawasan semak berhampiran pantai Telok Gong kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Menurut Umar Ali, sebelum kejadian, mangsa dipercayai datang bertemu suspek untuk menuntut hutang perabot yang masih tertunggak.

Katanya, kali terakhir suspek membayar hutang perabot bernilai RM3,900 yang diambil sejak awal tahun ini ialah pada Jun lalu dengan bayaran terakhir bernilai RM200.

Beliau berkata, suspek pertama sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Suspek kedua memiliki dua rekod lampau melibatkan kes dadah.

Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment