My Add

Tuesday 6 August 2013

Dua jejambat bernilai RM300j bakal dibina di Melaka

MELAKA, SELASA, 06 0GOS, 2013: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi pembinaan jejambat di dua kawasan yang dikenal pasti lokasi kesesakan trafik dan kemalangan jalan raya di Melaka.

Lokasi berkenaan ialah persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dan persimpangan Peringgit berhampiran Memorial Tun Ghafar Baba di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata pembinaan jejambat berkenaan dijangka bermula selepas proses bayaran pampasan pengambilan tanah bagi kedua-dua projek itu oleh Jabatan Kerja Raya Melaka selesai.

"Bagaimanapun difahamkan kerajaan pusat sedang mengkaji semula pemberian tender kerana harga yang ditawarkan kontraktor melalui tender terpilih adalah terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen AntiKemalangan sempena sambutan Aidilfitri peringkat negeri di Plaza Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Abdul Ghafaar berkata, dua lagi pembinaan jejambat turut diluluskan iaitu di Persimpangan Bukit Katil berhampiran Hospital Pantai dan di Persimpangan Bukit Beruang berhampiran air terjun namun masih menunggu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kita sentiasa memandang serius tentang isu kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya di negeri ini dan berusaha menanganinya secara berperingkat," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 100 kemalangan jalan raya dengan lima kematian direkodkan berlaku di Melaka dalam tempoh tiga hari sejak Kempen Op Selamat sempena sambutan Aidilfitri dilancarkan di negeri ini Khamis lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memberi tumpuan ketika memandu bagi mengelak kemalangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment