My Add

Thursday 22 August 2013

Dua lagi pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin ditahan

 *PARA penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi memegang sepanduk pemimpin berkenaan semasa satu tunjuk perasaan di Maadi, Kaherah pada Isnin lalu.- AP 
KAHERAH, RABU, 21 Ogos, 2013:  Pihak berkuasa Mesir semalam meneruskan operasi penahanan barisan pemimpin pergerakan Islam terbesar di negara berkenaan, Ikhwanul Muslimin.

Terbaharu, pihak berkuasa menahan dua lagi pemimpin pergerakan berkenaan, Saf- wat Hegazy dan Mourad Ali semasa mereka cuba melarikan diri ke Libya dan Itali.

Safwat merupakan seorang ulama konservatif manakala Mourad pula bertindak sebagai jurucakap sebuah parti politik naungan Ikhwanul Muslimin.

Mereka ditahan atas tuduhan menghasut orang ramai supaya mencetuskan kegana- san.

Penahanan tersebut merupakan tindakan keras terbaharu pemerintah Mesir yang disokong tentera terhadap Ikhwanul Musli- min.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Abdel-Fattah Othman berkata, Saf- wat ditangkap pagi semalam di bandar Mersa Matruh di sempadan Libya dan dibawa ke sini untuk disoal siasat.

Dalam pada itu, seorang pegawai kese- lamatan lain memberitahu, Mourad pula ditahan di lapangan terbang Kaherah semasa dia cuba menaiki sebuah pesawat ke Itali.

Penahanan Safwat dan Mourad dibuat sehari selepas polis menangkap pemimpin agama Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie.

Ratusan lagi pemimpin Ikhwanul Musli- min ditahan sejak tentera menggulingkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu susulan protes besar-besaran terhadap pemerintahannya.

Berikutan penangkapan Mohammed, Ikhwanul Muslimin menamakan timbalan ketuanya, Mahmoud Ezzat sebagai pemimpin sementara pergerakan itu.

Mohammed, Safwat dan Mourad dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Ahad ini atas tuduhan menghasut keganasan di hadapan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin pada 30 Jun lalu.

Sementara itu, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak akan dibebaskan seawal hari ini susulan keputusan mahkamah yang dilihat akan menyebabkan krisis politik di negara berkenaan menjadi bertambah buruk.

Keputusan mahkamah Mesir itu dibuat tujuh minggu selepas pihak tentera menggulingkan Morsi.

Bersidang semalam di sebuah penjara tempat Mubarak ditahan di sini, mahkamah itu mengarahkan pembebasan diktator berkenaan yang memerintah Mesir selama 30 tahun.

Mubarak digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir yang turut melanda dunia Arab pada 2011.

Pembebasan pemimpin 'kuku besi' itu dijangka mencetuskan kemarahan orang ramai.

"Kerajaan sedar jika Mubarak dibebaskan, orang ramai akan marah tetapi kita perlu menghormati keputusan mahkamah," kata seorang pemimpin kerajaan, Mohamed Abolghar.

Mubarak, 85, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun lalu kerana gagal menghalang pembunuhan penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, sebuah mahkamah mene- rima rayuan mengadakan perbicaraan semula kes berkenaan pada awal tahun ini.

Angka korban akibat pergolakan politik di Mesir sejak beberapa hari lalu kini menghampiri 1,000 orang. - Agensi/KOSMO!

No comments:

Post a Comment