My Add

Sunday 11 August 2013

Elemen 3L punca kebakaran meningkat - Bomba

 Khirudin Drahman
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Elemen 3L iaitu lalai, lupa dan leka dikenal pasti sebagai punca meningkatnya kes kebakaran kediaman terutama semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pada sambutan hari raya pertama hingga ketiga pada tahun lalu, hanya satu kes kebakaran dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, jumlah tersebut bagaimanapun meningkat kepada empat kes dalam tempoh yang sama tahun ini dan kebanyakan tragedi akibat elemen 3L itu.

"Empat kes dilaporkan sejak hari pertama raya sehingga hari ini ialah tiga kebakaran kediaman dan satu kes membabitkan kebakaran empat motosikal.

"Satu kes yang dilaporkan berlaku di Sentul pada hari raya pertama, diikuti satu kes di Kampung Datuk Keramat pada hari raya kedua dan satu lagi kes di Kampung Datuk Keramat hari ini dipercayai berpunca daripada kelalaian mangsa sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khirudin, hasil siasatan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati, empat kes kebakaran yang berlaku itu akibat api gas memasak yang tidak ditutup ketika memanaskan juadah raya dan penggunaan peralatan elektrik yang tidak terkawal.

Beliau berkata, pada tahun lalu, rata-rata kes kebakaran dilaporkan berlaku pada pertengahan dan lewat sambutan musim perayaan iaitu berbeza berbanding tahun ini yang berlaku ketika Aidilfitri sedang diraikan.

Katanya, kebanyakan insiden kebakaran tahun lalu, berlaku setelah kebanyakan penghuni rumah pulang semula ke ibu kota.

"Punca kebakaran pula adalah disebabkan bunga api dan mercun.

"Terdapat juga pemilik rumah meninggalkan kediaman dengan membiarkan suis elektrik tidak dimatikan yang boleh mengundang berlakunya litar pintas," ujarnya.

Menurut Khirudin, pihaknya difahamkan ada antara pemilik kediaman sengaja membiarkan suis lampu dipasang dengan alasan bagi mengelakkan penjenayah.

Beliau berkata, langkah tersebut tidak selamat kerana ada cara lain yang lebih selamat iaitu menggunakan suis yang boleh menyalakan lampu secara automatik mengikut masa yang ditetapkan dan tanpa melibatkan penggunaan elektrik secara tidak terkawal.

Katanya, kawasan rumah setinggan lebih berisiko terbakar memandangkan kedudukan kediaman yang tidak tersusun dan kesukaran bomba mendapatkan sumber air untuk memadam api. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment