My Add

Monday 5 August 2013

 Guan Eng perlu akui gagal selaku Setiausaha Agung DAP

SEREMBAN, ahad, 04 Ogos, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu mengakui kegagalannya selaku pemimpin utama parti itu ekoran penyelewengan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), bukannya menyalahkan pihak lain demi agenda tertentu.

Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek menjelaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak wajar menyalahkan pihak lain kononnya menjadikan parti tersebut mangsa sedangkan kelemahan berkenaan berpunca daripada pemimpin parti itu sendiri.

"Guan Eng tidak perlu mengalih tumpuan ahli parti itu dengan menyalahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung masalah penyelewengan dalam pemilihan CEC. Lim Guan Eng perlu mengakui beliau gagal sebagai Setiausaha Agung DAP.

"Ahli-ahli DAP sendiri yang membuat aduan kepada ROS terhadap beliau, jadi ini bukan salah Menteri atau Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengulas kenyataan pemimpin pembangkang itu yang menyalahkan Ahmad Zahid kerana kononnya sengaja menjadikan DAP mangsa politik.

Kontroversi pemilihan CEC DAP semakin menarik selepas pendedahan Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) tulisan Father Augustus Chen yang menyatakan secara terperinci penipuan dalam pemilihan itu sejak 47 tahun lalu.

Laporan itu pertama kali didedahkan Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan pada 20 Julai lalu yang menerimanya dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Tamil melalui kiriman pos.

Ekoran pendedahan buku itu, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mendakwa, Father Augustus Chen pernah menjadi rakan karib kepada Guan Eng sekali gus memperlihatkan buku tersebut mempunyai kredibiliti.

Dalam pada itu, Hasan mempersoal sikap Guan Eng yang tidak menyalahkan Father Augustus Chen kerana membongkar kehadiran sebanyak 547 perwakilan haram dalam CEC tahun lalu.

Sedangkan, kata beliau, terdapat lebih 1,000 para perwakilan sah tidak dijemput menghadiri pemilihan itu seperti dilaporkan sekali gus menafikan hak mereka sebagai ahli parti tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment