My Add

Saturday 3 August 2013

FAMA mahu popularkan slogan`Segar, Murah, Terus dari Ladang'

JITRA, SABTU, Ogos, 2013:: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mempopularkan slogan 'Segar, Murah, Terus dari Ladang' bagi menarik orang ramai mengunjungi Pasar Tani untuk membeli keperluan harian mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, tagline itu secara automatik sinonim dengan Pasar Tani selain selari dengan konsep 'untung-untung' untuk petani, peniaga, dan pelanggan.

"Tagline ini sesuai kerana produk Fama dijamin segar dan murah lima hingga 10 peratus dari harga pasaran," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pasar Tani pra-Syawal peringakt negeri di Pasar Tani Taman Tunku Sarina, Bandar Darulaman di sini, oleh anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom.

Ahmad berkata FAMA juga akan memastikan semua produk yang dijual di Pasar Tani khususnya ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan selamat dimakan.

Mengenai jualan Pasar Tani, beliau berkata ia dijangka mencecah RM1 bilion tahun ini berikutan bilangan pelanggannya meningkat setiap masa.

"Nilai jualan 500 Pasar Tani sekarang hampir menyamai nilai jualan tahun lepas sebanyak RM740 juta. Sasaran ini boleh dicapai kerana 30 lagi Pasar Tani akan dibuka menjadikan 530 buah semuanya sebelum akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata, FAMA sentiasa bersikap proaktif dalam memberi wajah baharu kepada Pasar Tani dengan memberi tumpuan kepada kebersihan termasuk peralatan yang digunakan pesertanya.

Sementara itu, Mohd Johari berkata Fama perlu meningkatkan promosi ulam-ulaman segar di Pasar Tani memandangkan permintaan untuk bahan itu meningkat dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) mencadangkan usahawan dan peniaga Bumiputera Pasar Tani membina rangkaian ke arah mewujudkan konsortium yang besar.

"Dengan adanya konsortium yang memborong barang, setiap produk dapat dijual lebih murah dan ini menguntungkan pembeli dan meningkatkan lagi jenama Pasar Tani," katanya.

Pada majlis itu Mohd Johari menyampaikan bantuan berjumlah RM12,000 kepada lapan peserta di bawah program Pengukuhan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (Kukuh) yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran di Kedah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment