My Add

Tuesday 6 August 2013

Fatwa pengharaman fahaman Syiah diperkasa bagi mengelak penularan - JAIS

SHAH ALAM, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Fatwa sedia ada yang mengharamkan fahaman Syiah di negeri ini akan diperkasa bagi membanteras penularan ajaran tersebut dalam kalangan umat Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, langkah itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini yang meminta rakyat negeri itu tidak mengikuti ajaran Syiah dan tidak membenarkannya diamal atau disebarkan.

"Selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu fahaman Syiah dibendung, pihak mufti dan Jawatankuasa Fatwa Negeri sedang memperkemas dan memperkasa fatwa sedia ada mengenai fahaman tersebut.

"Kita tidak mahu apabila menguatkuasakan larangan fahaman tersebut, berlaku kekurangan sehingga boleh menghalang kita mengambil sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 42 anak yatim dan ibu tunggal dari Badan Kebajikan Pegawai dan Kakitangan JAIS (Bakajasa), di sini hari ini.

Marzuki berkata, JAIS telah mengambil tindakan terhadap 118 orang pengikut fahaman tersebut di Gombak pada 22 November tahun lalu dan kes tersebut masih dalam proses pendakwaan.

"Sebagaimana pihak jabatan-jabatan agama Islam negeri lain, kita akan terus mengadakan operasi mengikut laporan orang ramai untuk terus membanteras aktiviti-aktiviti pengamal fahaman Syiah di negeri Selangor.

"Buat masa ini kita akan terus memantau kegiatan pengamal fahaman tersebut yang dilaporkan aktif di Klang dan dipercayai melibatkan pengamal fahaman tersebut yang datang dari negeri Kedah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment