My Add

Monday 12 August 2013

Gagal masuk universiti boleh kemuka rayuan ke UiTM

 Sahol Hamid
SHAH ALAM, AHAD, 11 Ogos, 2013: Lepasan program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) yang gagal memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) masih berpeluang mengikuti program diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, golongan terbabit boleh menghantar surat rayuan secara terus kepadanya di Pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Beliau memberitahu, tawaran itu membolehkan lepasan program matrikulasi, asasi dan STPM mengikuti program diploma di mana-mana kampus UiTM di seluruh negara dengan kelonggaran syarat.

"Ramai lepasan program Matrikulasi, Asasi dan STPM menulis surat kepada saya merayu untuk mengikuti program ijazah kerana kelulusan mereka tidak melepasi syarat dikenakan mengikut sistem merit.

"Pelajar dengan kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.0 ke atas akan diberi pertimbangan untuk pengecualian beberapa mata pelajaran atau dengan pengurangan beberapa kredit dan mungkin boleh menghabiskan program diploma tidak sampai tiga tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sahol Hamid berkata, lepasan STPM pula boleh membuat rayuan jika mendapat kelulusan kredit bagi lima mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat PNGK tidak kurang 2.0.

Beliau menjelaskan, rayuan tersebut perlu dibuat segera bagi proses pengambilan program ijazah pada September ini manakala program diploma pada sesi pengambilan Disember ini.

"Mereka yang terpilih juga layak untuk memohon bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)," katanya.

Sahol Hamid berkata, sekiranya golongan itu masih mahu mengikuti program ijazah, mereka boleh membuat pilihan merayu mendapatkan tempat untuk program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) atau Program Luar Kampus (PLK) dengan pengecualian syarat berpengalaman kerja selama setahun.

Beliau berkata, pada masa ini syarat mengikuti PJJ atau PLK memerlukan pemohon mempunyai pengalaman kerja selama setahun atau dua tahun, bergantung kepada kursus.

Katanya, pelajar yang kurang cemerlang pula berpeluang memasuki mana-mana 22 kolej bersekutu UiTM di seluruh negara dengan syarat mendapat keputusan minimum lima kredit termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Antara kolej bersekutu UiTM termasuk Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Poly-Tech Mara di Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech Mara Bangi dan Kolej Teknologi Timur, Sepang di Selangor," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya memberikan kelonggaran tersebut bagi memastikan para pelajar yang mempunyai kelulusan baik tidak tercicir daripada mendapat peluang melanjutkan pengajian.

"Kami tidak mahu mengecewakan sesiapa tetapi mestilah menepati syarat yang ditetapkan. Mereka mendapat keputusan SPM yang bagus tetapi tidak mendapat peluang ke universiti, jadi UiTM menawarkan tempat bagi program diploma dan lepas itu mereka boleh sambung buat ijazah, jadi tidak rugi pelajar-pelajar tersebut," katanya.

Sahol Hamid menjelaskan, sebagai sebuah universiti yang ditubuhkan untuk membantu pelajar Melayu dan bumiputera, pihaknya berusaha mewujudkan peluang kepada mereka yang berkelayakan untuk diberikan tempat pengajian.

"Kita sepatutnya mempunyai kesungguhan untuk membantu masyarakat Melayu. Kalau kita semua mempunyai semangat ini, kita akan bersama-sama bersatu untuk memastikan anak-anak kita boleh berjaya dengan cemerlang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment