My Add

Tuesday 6 August 2013

Gantung sampai mati

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
 
 
* WONG Ban Chong dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

ALOR SETAR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki setelah didapati bersalah membunuh isterinya di Alor Mengkudu di sini, Februari tahun lalu.

Tertuduh Wong Ban Chong, 55, turut dihukum penjara lapan tahun berkuat kuasa tarikh dia ditangkap selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan ke atas anak angkatnya dalam kejadian sama.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah ketika membela diri, telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, mahkamah menolak keterangan tertuduh yang mendakwa diserang oleh mangsa serta anaknya ketika berada dalam rumah tersebut dan terpaksa bertindak mempertahankan diri.

"Keterangan tertuduh itu bagaimanapun gagal dibuktikan. Menurut keterangan saksi pendakwaan, tertuduh masuk ke dalam rumah secara agresif menerusi tingkap cermin di bahagian dapur.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa dan anaknya berasa takut dan lari keluar rumah bagi menyelamatkan diri kerana tertuduh bersenjatakan parang. Pembelaan tertuduh cuba mempertahankan diri tidak boleh diterima kerana menurut saksi, dia cedera ketika memecahkan tingkap cermin semasa memasuki rumah," katanya.

Mengikut pertuduhan, Ban Chong didakwa membunuh Uug Siew Lin, 47, di rumah No. 269 di Taman Saga Jalan Alor Mengkudu dekat sini kira-kira pukul 12.17 tengah malam pada 17 Februari 2012.

Tertuduh yang bekerja sebagai operator penyewaan jengkaut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ban Chong juga dituduh di bawah Seksyen 326 kanun sama atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak angkat mangsa, Ch'ng Sheue Mei, 26, menggunakan parang di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab. Rashid manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Afza Dahari.

Ban Chong yang berkemeja-T warna hijau kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman selesai dibacakan.

Terdahulu Mohamad Afza memaklumkan, tertuduh tiada rekod jenayah dan kejadian berlaku kerana masalah rumah tangga yang sudah lama terpendam.

"Tertuduh bukan seorang penjenayah dan kejadian itu amat dikesali," katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan sementara pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment