My Add

Tuesday 6 August 2013

Guru cemas anak dilarikan teman lelaki

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Gara-gara terlalu percayakan teman lelakinya yang dikenali melalui laman sosial Facebook, seorang guru di Rawang, Selangor di sini, sanggup 'meminjamkan' anaknya berusia tiga tahun kepada lelaki itu kelmarin, kononnya untuk memperkenalkan kepada keluarganya.

Tindakannya itu mengundang padah apabila lelaki terbabit bertindak melarikan anaknya sehingga membuatkan hidup wanita itu tidak keruan.

Wanita yang dikenali sebagai Arbaiyah Md. Zin, 32, yang bekerja sebagai guru itu bagaimanapun bernasib baik selepas anaknya ditemui semula di Pulau Pinang, hari ini.

Segala-galanya bermula apabila Arbaiyah berkenalan dengan seorang lelaki yang menggunakan nama Mohd. Faisal Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, Mei lalu, sebelum kedua-duanya merancang untuk mendirikan rumahtangga selepas Aidilfitri nanti.

Rabu lalu, lelaki itu meminta Arbaiyah ‘meminjamkan’ anaknya, Wan Aisyah Wan Exzan, 3, untuk diperkenalkan kepada salah seorang ahli keluarganya yang menetap di Damansara dan berjanji akan diserahkan kembali beberapa hari selepas itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki itu tidak menyerahkan Wan Aisyah sebaliknya menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan.

Katanya, wanita itu turut menyerahkan wang sejumlah RM25,000 kepada lelaki berkenaan untuk memulakan perniagaan emas.

“Wang tersebut diserahkan Jumaat lalu dan keesokannya, lelaki itu gagal dihubungi. Dia juga tidak datang menjemput wanita itu di rumahnya pada pukul 8 pagi untuk membeli barang hantaran perkahwinan.

“Berikutan itu, wanita terbabit mencari sendiri lelaki tersebut di sebuah rumah di Pinggiran Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail namun kediaman berkenaan difahamkan milik individu lain.

“Dia kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya itu," katanya.

Menurut Abdul Rahim, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di luar jagaan ibu bapanya.

Katanya, berdasarkan laporan wanita itu, polis mengerakkan usaha mencari sehinggalah kanak-kanak tersebut ditemui di Pulau Pinang.

Difahamkan, wanita berkenaan turut memuat naik berita kehilangan anaknya itu di Facebook dan Twitter sehingga mencetuskan kegemparan pengguna laman sosial tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan Wan Aisyah telah dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong kira-kira pukul 11.30 pagi oleh ibu lelaki berkenaan.

“Dia dikatakan menghilangkan diri selepas menyerahkan kanak-kanak itu kepada wanita terbabit. Polis kini memburu lelaki tersebut yang yang sebenarnya ialah Shahrizal Yusof, 43, untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau memberitahu, kanak-kanak berkenaan telah diambil semula oleh Arbaiyah di Balai Polis Sungai Nibong kira-kira pukul 5 petang ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment