My Add

Tuesday 13 August 2013

Hanya 30 peratus peniaga kecil cukup syarat bayar zakat

 Abdul Hakim
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Kesedaran berhubung kepentingan menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan di kalangan peniaga kecil masih rendah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Abdul Hakim Amir Osman berkata, setakat ini dianggar 30 peratus sahaja peniaga kecil yang cukup syarat tampil menunaikan tanggungjawab itu manakala bakinya 70 peratus lagi berkemungkinan tidak tahu keperluan untuk berbuat demikian.

Mengulas punca berlakunya perkara itu, Abdul Hakim Amir berkata, kebanyakan peniaga kecil terlepas pandang akan kepentingan menunaikan zakat, selain faktor kurangnya pengetahuan mengenai asas, syarat dan kaedah pembayaran zakat perniagaan.

"Kurang pengetahuan menyebabkan mereka (peniaga kecil) merasakan tidak perlu membayar zakat perniagaan dan hasil pendapatan boleh dibelanjakan begitu sahaja, sedangkan wajib ke atas mereka untuk membayarnya jika cukup segala syarat," katanya kepada di sini hari ini.

Zakat perniagaan wajib dikeluarkan peniaga yang menjalankan perniagaan seperti perikanan, pertanian, perkhidmatan atau perniagaan lain sama ada dalam bentuk perniagaan sendiri, perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan syarikat, koperasi dan sebagainya.

Peniaga wajib mengeluarkan zakat mengikut kadar yang ditetapkan iaitu sebanyak 2.5 peratus atas harta perniagaan yang layak dizakatkan tertakluk kepada kadar nisab.

Bagi memastikan peniaga kecil melaksanakan tanggungjawab itu, PPZ-MAIWP sentiasa komited memberi pendidikan dan maklumat berkaitan perkara itu serta menganjurkan program Bicara Santai dan mewujudkan van bergerak zakat untuk memudahkan peniaga menunaikan zakat.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPZ-MAIWP mengutip RM33.9 juta zakat perniagaan melibatkan 982 pembayar dan daripada jumlah itu sebanyak RM5.47 juta ialah zakat perniagaan yang diterima menerusi 398 peniaga kecil di seluruh Wilayah Persekutuan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment