My Add

Saturday 10 August 2013

Hari raya meriah di Tawau dan Lahad Datu

TAWAU, JUMAAT,:09 Ogos, 2013 Aidilfitri disambut meriah di Tawau dan Lahad Datu walaupun timbul desas-desus sebelum ini bahawa kumpulan pengganas Kesultanan Sulu dari selatan Filipina akan melakukan gelombang kedua pencerobohan.

Walaupun desas-desus itu turut menyebut akan berlaku penculikan dan

kekacauan, ia tidak menampakkan suasana panik mahupun kerisauan dalam kalangan umat Islam dalam menyambut hari raya di dua daerah ini.

Di Lahad Datu yang menyaksikan pencerobohan oleh kumpulan militan itu awal
tahun ini, lawatan dari rumah ke rumah sanak-saudara meriah seperti tahun-tahun
lalu dan majlis rumah terbuka diadakan sepanjang hari pertama dan kedua hari
raya.

Majlis rakyat hari raya turut diadakan di Kampung Labian, salah satu lokasi
yang diceroboh pengganas Kesultanan Sulu dengan persembahan hiburan oleh finalis Akademi Fantasia, Mila.

Di Tawau, tinjauan Bernama terutamanya di lokasi yang dikhabarkan menjadi
sasaran penceroboh iaitu pusat pemunggahan barangan perniagaan 'tukar barang'
Sabindo, sehingga hari raya pertama menyaksikan aktiviti berjalan seperti biasa
sehingga awal pagi.

Kawasan perniagaan 'tukar barang' Sabindo sepanjang kira-kira 1,000 meter
menghadap lautan terbuka, turut digunakan sebagai laluan ke Nunukan dan Tarakan,
di Indonesia selain ke pulau-pulau kecil selatan Filipina seperti Tawi-Tawi yang
didiami masyarakat Tausug dan Suluk.

Peniaga sayur di Sabindo, Abidin Samsudin, 53, mengakui ada mendengar
desas-desus penceroboh akan menyelinap masuk di kawasan berhampiran pemunggahan
barangan itu, tempat beliau menjalankan perniagaan.

"Aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa dan kami menyerahkan kepada
kecekapan pihak berkuasa keselamatan dalam mengawal keadaan," katanya ketika
ditemui.

Abidin yang menjalankan perniagaan hampir sedekad di pelbagailokasi di kawasan pasar Sabindo berkata peniaga hanya inginkan keamanan.

"Apa yang kita lihat dan dengar selain apa yang telah berlaku di Lahad Datu
adalah satu pengajaran dan teladan kepada kami di Tawau ini," katanya.

Mariamah Osmang, 55, peniaga keropok ikan berkata majoriti peniaga di
kompleks pasar Sabindo hanya mahukan pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa
keselamatan di kawasan pemunggahan barangan itu, terjamin.

"Kami tidak mahu mendengar perkhabaran yang menakutkan, walaupun kami
percaya dan yakin akan kebolehan pihak keselamatan. Kalau boleh biarlah ada
rondaan dari masa ke masa di kawasan pasar ini," katanya.

Ketua Daerah Polis Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah ketika dihubungi Bernama berkata suasana sambutan perayaan aman di daerah ini dan tidak terdapat sebarang kejadian seperti dikhabarkan.

"Masyarakat peniaga menjalankan perniagaan seperti biasa tanpa ada kerisauan, manakala penduduk merayakan hari raya dengan meriah seperti tahun-tahun lalu. Begitu juga rumah terbuka sejak hari pertama hari raya," katanya.

Awang Besar berkata, anggota polis marin bersama Agensi Penguatkuasa Maritim
Malaysia (APMM) akan terus membuat pemantauan dan melaksanakan operasi rondaan,
sementara pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan
Gerakan Am (PGA) mengawasi sebarang kemungkinan pencerobohan.

Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara
setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu, pada 12 Februari lalu dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan
kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala
68 pengganas ditembak mati. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment