My Add

Wednesday 7 August 2013

Hilmi tidak tanding, beri peluang orang muda

BALIK PULAU, SELASA, 06 Ogos, 2013: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya tidak akan mempertahankan jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO nanti bagi memberi peluang kepada golongan muda menerajui parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, tempoh dua penggal sebagai ahli MT sudah memadai baginya dan tiba masa untuk memberi laluan kepada muka baharu.

"Saya sudah buat keputusan, sudah menjadi ahli MT selama dua penggal, kali ini beri peluang kepada orang muda pula.

"Biarlah orang lama seperti saya undur diri," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis berbuka puasa di kediamannya di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau melahirkan hasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau.

"Jawatan ketua bahagian, insya-Allah saya bertanding," ujarnya.

Menurutnya, bahagian tersebut berkemungkinan besar tiada pertandingan bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli.

"Bahagian Balik Pulau aman damai, tiada pertandingan.

"Semua jawatan akan cuba berunding bagi menunjukkan perpaduan di bahagian ini," jelasnya.

Hilmi sebelum itu meraikan kira-kira 500 warga emas dan anak yatim dalam majlis berkenaan.

Kesemua mereka menerima duit raya yang disumbangkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Yang hadir sama Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment