My Add

Tuesday 6 August 2013

Hishammuddin kecewa jumlah kemalangan dan kematian nahas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kecewa dengan jumlah kemalangan maut yang sudah mencatat 53 kematian sehingga semalam walaupun Op Selamat baru sahaja empat hari dilancarkan.

Beliau yang ternyata risau dengan keadaan tersebut setelah pelbagai langkah proaktif yang diambil gagal membendung kemalangan maut berjanji akan melakukan bedah siasat secara menyeluruh selepas Op Selamat selesai.

Menurutnya, beliau percaya peningkatan kadar kemalangan itu berkait rapat dengan pertambahan jumlah kenderaan secara mendadak iaitu dari 1.9 juta pada hari biasa kepada tiga juta menjelang musim perayaan.

Walaupun mengakui peningkatan jumlah kenderaan bukan satu alasan tetapi beliau memberitahu, ia berkaitan dan berharap orang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut raya agar lebih berhemah semasa memandu.

"Kita tidak boleh tuding jari kepada satu pihak sahaja. Memang saya kecewa tetapi kita kena lihat puncanya dulu. Kekecewaan dan kerisauan ini kadang-kala mendorong kita fikir apa lagi yang boleh dibuat. Saya berdoa agar jumlah kemalangan berkurangan.

"Kita akan buat bedah siasat terperinci. Apa punca? Kemalangan mana yang menyebabkan kematian? Apakah kecuaian pemandu atau masalah kenderaan," katanya selepas melawat Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 53 kes kematian termasuk tujuh kemalangan ngeri di seluruh negara dalam tempoh tiga hari Op Selamat dilancarkan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar kemalangan dengan menggembelingkan beberapa kementerian serta agensi berkaitan di seluruh negara.

Terbaru, katanya, selain agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Mengenai cadangan memansuhkan topi keledar bercermin gelap kerana banyak digunakan penjenayah dalam kes tembak kebelakangan ini, beliau berkata, buat masa sekarang belum ada sebarang kajian mengenai perkara itu.

"Kita perlu lihat jenayah itu secara menyeluruh dan bukan sahaja dalam soal topi keledar, tetapi jika kajian pihak berkuasa menuntut cadangan itu dilaksanakan kita akan menyokong apa sahaja langkah mengurangkan jenayah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment