My Add

Saturday 24 August 2013

Hubungan dagang dengan Mesir terjejas - Mustapa

KOTA BHARU, SABTU, 24 Ogos, 2013: Kemelut yang melanda Mesir kini menjejaskan hubungan perdagangan Malaysia dengan negara itu, yang diyakini mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Mesir pada suatu masa adalah rakan dagang terbesar di Afrika Utara, yang mengimport kelapa sawit serta kereta nasional Proton.

"Namun sejak 2011, hubungan dagang merudum dan terputus. Sudah tentu kita rasa dukacita bila perkara ini berlaku dan kita terpaksa mengalih kepada pasaran negara lain.

"Kita yakin keadaan ini akan mengambil masa yang lama untuk pulih semula. Mesir mempunyai potensi besar dalam hubungan dagang ini," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Kursus Haji Perdana di sini malam tadi.

Mustapa berkata Malaysia sebelum ini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi, dan telah menandatangani beberapa perjanjian dengan negara itu.

Beliau berkata sebahagian besar daripada hampir 100 juta penduduk negara itu sebelum ini sangat berminat dengan kereta nasional Proton, dan krisis yang berlaku itu telah menjejaskan segala-galanya.

"Mereka (Mesir) kini tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Inflasi di negara itu kini naik mendadak. Harga barangan dilaporkan meningkat. Rakyat menderita.

"Ini bukan masalah politik semata-mata, malah berkaitan dengan masalah perut (ekonomi) penduduk di sana. Sektor pelancongan juga telah terjejas," katanya.

Keadaan tidak menentu di negara itu juga menyebabkan kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir, menggunakan pesawat komersial.

Mustapa turut meminta rakyat negara ini menjadikan pergolakan di Mesir itu sebagai iktibar agar mengekalkan keamanan negara sedia ada. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment