My Add

Saturday 3 August 2013

Ibu rentung terperangkap dalam kebakaran

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Hanya dalam tempoh 15 minit boleh memisahkan seorang ibu dengan suami dan empat orang anaknya setelah wanita itu rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan 3/8, Taman Puchong Indah, dekat sini awal pagi ini.

Apa yang menyedihkan tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, Norriza Mat Salleh, 36, kerani di sebuah syarikat swasta maut dipercayai kerana terperangkap dalam bilik utama rumah berkenaan berikutan asap tebal dan api yang marak.

Difahamkan, kira-kira 15 minit mangsa menjerit minta tolong dan meraung kepanasan di jeriji tingkap rumah berkenaan sebelum diam dipercayai sesak nafas.

Orang ramai cuba memadamkan kebakaran tersebut malah ada yang cuba memecahkan tingkap serta meredah masuk ke dalam rumah sehingga melecur di kaki setelah tangga ke tingkat atas rumah itu patah dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.53 pagi dan segera menghantar 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Subang Jaya dan Seksyen 7 ke lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment