My Add

Saturday 3 August 2013

Isu pelajar Cina: Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Ka Siong

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bahawa hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat Purata Penilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memberitahu, bagi sesi akademik 2012/2014, seramai 3,584 pelajar mendapat PNGK 4.0 dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,275 merupakan pelajar keturunan Cina.

Katanya, selebihnya meliputi pelajar bumiputera iaitu 1,673; pelajar India seramai 361 dan lain-lain keturunan sebanyak 275 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 3,545 pelajar telah ditawarkan tempat ke IPTA. Ini jelas menunjukkan sebanyak 99 peratus pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 mendapat tempat di IPTA dan hanya satu peratus tidak menerima tawaran," kata kenyataan kementerian tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Pendidikan memberitahu, kegagalan 39 pelajar berkenaan mendapat tempat di IPTA adalah disebabkan beberapa faktor.

Katanya, antara faktor tersebut meliputi pelajar tidak memenuhi syarat khusus program; unjuran tempat telah penuh terutamanya program perubatan, pergigian dan farmasi serta pelajar membuat pernyataan 'Tidak' sekiranya ditawarkan program selain daripada yang dipohon.

"Selain itu, sebab kegagalan golongan ini mendapat tawaran ke IPTA adalah kerana gagal dalam saringan temuduga dan pelajar berada pada merit yang rendah kerana markah kokurikulum yang rendah," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan turut menafikan dakwaan Ka Siong bahawa sistem kuota yang diperkenalkan pada 2002 adalah satu bentuk sistem yang lebih buruk dan telah membawa kepada kemerosotan kadar kemasukan pelajar Cina ke dalam lapan bidang kritikal di IPTA.

Menurut kementerian itu, dasar meritokrasi yang dilaksanakan adalah mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menjana markah merit calon.

"Sehubungan itu, penetapan merit tidak hanya melihat kepada pencapaian akademik semata-mata. Penentuan dibuat dengan mengambil kira kedua-dua elemen akademik dan kokurikulum calon untuk memastikan IPTA melahirkan graduan yang holistik," kata kementerian itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment