My Add

Saturday 3 August 2013

Jangan ambil mudah kestabilan negara - Shahrizat

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan masyarakat terutamanya golongan muda untuk tidak mengambil mudah perihal kestabilan dan kemakmuran negara yang dinikmati mereka kini.

Beliau berkata, kemakmuran yang dikecapi 'tidak datang dari langit' sebaliknya diperoleh hasil keringat dan usaha pemimpin sejak Malaysia mencapai kemerdekaan dan kesinambungan itu diteruskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita perlu bersyukur Malaysia aman dan tidak mengalami nasib seperti negara atau negara Islam seperti Mesir yang ditimpa pelbagai insiden menyayat hati apabila pemimpin yang dipilih secara demokrasi digulingkan tentera," katanya kepada pemberita pada Majlis Solat Dhuha, Tasbih, Solat Hajat dan Tadarus Al-Quran di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan Pergerakan Wanita UMNO dan disertai kira-kira 1,000 anggota pergerakan tersebut dan beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari sekitar Lembah Klang.

Solat sunat dipimpin oleh Ustazah Shamsiah Abdul Rahman manakala tadarus Al-Quran diketuai oleh qariah ternama, Datin Seri Sharifah Khasif Badiuzzaman.

Mengulas mengenai majlis itu, Shahrizat berkata majlis itu merupakan acara tahunan pergerakan itu di bulan Ramadan sebagai cara untuk mengimarahkan bulan mulia di samping mengeratkan silaturahim antara anggota.

"Solat hajat juga dilakukan untuk memohon supaya Malaysia terus sejahtera dan semoga pemimpin negara diberikan kesihatan untuk terus menerajui Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment