My Add

Sunday 11 August 2013

Jangan jadikan pemilihan parti sebagai 'pesta'

 Mustapha Yaakub
KUALA LUMPUR, SABU, 10 Ogos, 2013: Pertandingan merebut jawatan pucuk pimpinan di semua peringkat dalam pemilihan UMNO diharap tidak dijadikan 'pesta' sehingga menghilangkan fokus tentang tujuan dan matlamat perjuangan parti.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, banyak perkara perlu dimuhasabah oleh pemimpin UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Memang tidak dinafikan UMNO mencapai kejayaan besar dengan memenangi lebih banyak kerusi tetapi jangan sampai syok sendiri dan masuk bakul angkat badan sendiri.

"Persiapan awal menghadapi pilihan raya hadapan mesti bermula sekarang kalau UMNO mahu terus menjadi parti dominan mewakili orang Melayu yang boleh diterima oleh orang Melayu di samping menunjangi komponen Barisan Nasional (BN)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas harapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak agar pemilihan pada Oktober nanti tidak mengugat UMNO sebagai sebagai parti terkuat.

Menurut Mustapha, semua pihak yang berhasrat menawarkan diri bertanding jawatan dalam pucuk pimpinan parti di semua peringkat perlu mengambil ingatan pesanan Presiden UMNO.

"Kita juga berharap agar mengembalikan zaman kegemilangan Perhimpunan Agung UMNO yang mana para perwakilan akan dengan berani menegur pucuk pimpinan.

"Suara-suara keramat yang pernah menitiskan air mata ahli Majlis Tertinggi sudah lama tidak kedengaran tetapi sebaliknya suara-suara sumbang penuh dengan pujian dan ampu bodek mengambil tempat dalam Perhimpunan Agung sejak sekian lama," jelasnya.

Katanya, wakil negeri yang akan membahas ucapan dasar Presiden dan usul-usul wajar diberi kebebasan untuk bersuara dan menegur pucuk pimpinan parti tanpa diganggu dengan sebarang garis panduan yang perlu dipatuhi.

"Pucuk pimpinan pula mesti bersedia menerima teguran walaupun pedih dan pahit. Ketelusan mesti berlaku dalam UMNO.

"UMNO mesti ditransformasikan dari atas ke bawah dan bukan sebaliknya," ujar beliau. - UTUSAM

No comments:

Post a Comment