My Add

Sunday 11 August 2013

Jangan persoal dasar berasaskan kaum di Malaysia - Perkasa

 Abd. Wahid
KUANTAN, SABYU, 10 Ogos, 2013: Dasar berasaskan kaum termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti dilaksanakan di negara ini adalah yang terbaik dalam memberikan keadilan kepada rakyat.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, dengan kira-kira 29 juta penduduk, Malaysia pastinya mempunyai acuan tersendiri dalam menentukan hala tuju negara dan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew supaya tidak mencampuri urusan berkaitan dasar Malaysia.

"Kerajaan Malaysia sentiasa membuat perubahan daripada semasa ke semasa ke atas setiap dasar yang dilaksanakan dan sentiasa memastikan tiada jurang besar antara kaum di negara ini.

"Sudah tentunya dasar yang digubal Malaysia mengambil kira pelbagai perkara dan juga kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini dan ini tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kuan Yew dilaporkan berkata, dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara dalam keadaan yang tidak menguntungkan.

Abd. Wahid berkata, kerajaan Malaysia sentiasa bersikap adil kepada rakyatnya tanpa meminggirkan mana-mana kaum sehingga perkara itu menjadi contoh kepada negara lain.

"Adakah Kuan Yew melihat ada mana-mana kaum di negara ini yang tidak mendapat keadilan, semuanya dibela," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, tindakan pembangkang berkempen untuk menghapuskan beberapa dasar berasaskan kaum di negara ini adalah bagi mendapatkan sokongan politik semata-mata. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment