My Add

Thursday 22 August 2013

Jangan sekat pertandingan CEC DAP

 *TUNKU Aziz Tunku Ibrahim (kiri) dan Tan Tuan Tat mengadakan sidang akhbar mengenai isu Lim Guan Eng di Sri Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: DAP perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu secara telus dengan membenarkan penyertaan mana-mana calon yang berkelayakan serta menggunakan senarai delegasi pemilih yang berhak dan sah.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, DAP perlu sedar kemelut CEC itu timbul kerana ramai akar umbi parti tidak berpuas hati dengan proses pemilihan tahun lalu yang penuh kepincangan.

Menurutnya, Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan senarai calon untuk pemilihan semula CEC itu akan kekal sama seperti pemilihan tahun 2012 dan begitu juga senarai ahli delegasi yang akan mengundi.

"Bagi saya, DAP tidak sewajarnya menyekat hak ahli yang mahu bertanding kali ini dan mereka harus bersetuju dengan kehadiran pemerhati bebas.

"Selain itu, mereka juga perlu memastikan semua perwakilan menerima notis mesyuarat serta melantik juruaudit bebas untuk memantau perjalanan pemilihan CEC yang baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sabtu lalu, Karpal menyatakan pemilihan semula CEC parti itu pada November depan akan mengekalkan senarai calon CEC serta perwakilan yang sama seperti pemilihan Disember tahun lalu.

Pada 15 Ogos lalu, DAP akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula CEC selepas pemilihan tahun lalu itu didakwa wujud penyelewengan kerana parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi.

Keputusan mengadakan pemilihan semula itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS kemudiannya membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu.

Menurut Tunku Abdul Aziz, DAP tidak sewajarnya menudingkan jari kepada mana-mana pihak individu atau organisasi terhadap kelemahan parti itu serta segala kontroversi yang timbul.

"Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak seharusnya menuding jari mencari kesalahan pihak lain sekiranya kegagalan itu berpunca daripada beliau sendiri," katanya.

Jelasnya, DAP tidak sepatutnya mengelirukan masyarakat tentang arahan diberikan ROS terutama pemilihan semula CEC parti itu dan membuat pelbagai provokasi sehingga mahu mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment