My Add

Thursday 22 August 2013

Jangan swastakan MAS, henti lantik warga asing

 Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) tidak perlu diswastakan, sebaliknya ditingkatkan tahap profesionalisme pengurusan supaya mampu bertahan dalam persaingan industri penerbangan dunia.

Bekas Pengarah Urusannya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, status penerbangan kebangsaan itu juga seharusnya dikekalkan supaya MAS tidak menjadi syarikat penerbangan lain yang hanya mengejar keuntungan berbanding memikirkan soal tanggungjawab sosial.

Beliau yang merupakan antara orang paling awal menyertai MAS semasa penubuhannya pada 1971 turut menegaskan MAS tidak perlu melantik warga asing untuk menjawat jawatan tinggi dalam syarikat itu yang dilihat tidak memahami konteks budaya dan suasana Malaysia dengan mendalam.

''Kalau bercakap soal MAS, pertamanya kita tiada satu dasar penerbangan awam yang tetap sehingga membuatkan kerajaan meluluskan 'lesen' banyak syarikat penerbangan. Pada pendapat saya, tindakan ini adalah salah.

''Kita patut melihat Singapura, mereka ada Singapore Airlines (SIA) dan syarikat-syarikat penerbangan tambang murahnya berada di bawah SIA. Kita pun patut buat begitu tetapi tidak dan apabila ada persaingan, sudah tentu menjejaskan prestasi MAS,'' katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan sidang pleno Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama sempena Pra-Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan di Ibu Pejabat Mara, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan kerajaan tidak akan menjual MAS walaupun masih mengalami kerugian.

Najib sebelum itu mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berhubung cadangan supaya kerajaan keluar daripada industri penerbangan dengan menjual MAS.

Abdul Aziz memberitahu, jika MAS diswastakan, sudah tentu syarikat penerbangan itu akan mengetepikan soal tanggungjawab sosial dengan menutup beberapa laluan di pedalaman Sabah dan Sarawak yang sememangnya tidak menguntungkan.

''Kalau diswastakan, MAS akan tumpu nak untung sahaja. Tetapi sebagai syarikat penerbangan berstatus kebangsaan, walaupun laluan di pedalaman Sabah serta Sarawak merugikan, MAS perlu teruskan. Menyentuh soal pengurusan, saya lihat ada sedikit lemah.

''Perhalusilah sama ada jenis kapal terbang untuk sesuatu laluan itu sesuai atau tidak dan kaji juga soal kos seperti kenaikan harga minyak. Pihak pengurusan kena jadi cekap supaya dapat menyesuaikan atau menyeimbangkan antara kos dengan perolehan,'' jelasnya.

Kepada soalan berhubung dakwaan MAS melantik lapan warga asing untuk memegang beberapa jawatan penting, beliau berkata, perkara itu tidak wajar kerana syarikat penerbangan yang sudah berusia lebih 40 tahun diyakini memiliki tenaga profesional tempatan yang berkelayakan.

''Kita ada kepakaran tempatan, MAS bukannya syarikat baharu, sudah lama dan pasti ada anak tempatan yang boleh dinaikkan (pegang jawatan penting).

''Kalau lantik orang luar, mereka bukannya tahu suasana dan budaya tempatan. Saya memang dahulu tak setuju nak bawa masuk orang asing,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment