My Add

Sunday 25 August 2013

Janji yang terbaik bantu bumiputera

MELAKA, SABTU, 24 Ogos, 2013: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berjanji melakukan yang terbaik bagi membantu memajukan usahawan bumiputera.

Menurutnya, usaha tersebut merangkumi pelbagai bidang yang strategik dan bersesuaian dengan pembangunan negara.

"Saya akan dapatkan maklumat dan taklimat daripada bekas Pengerusi dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PUNB serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah sebelum menentukan tindakan akan datang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang telah melantik saya sebagai Pengerusi PUNB yang baharu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu berpengalaman dalam membangunkan ekonomi negeri sejak 12 tahun memegang tampuk kepimpinan negeri.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuatkuasa 1 Ogos lalu dan dijangka menerima peralihan tugas daripada bekas Pengerusi PUNB, Khairy Jamaluddin pada Selasa ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata, pemilihan Mohd. Ali sebagai Pengerusi PUNB adalah tepat berdasarkan pengalamannya membangunkan ekonomi negeri.

"Saya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang bersemangat, dinamik serta bertanggungjawab memainkan peranan dalam apa juga bidang.

"Beliau berjaya melakukan apa juga kerja yang dipertanggungjawabkan dalam konteks pembangunan usahawan.

"Saya percaya beliau akan melakukan sesuatu yang lain daripada lain dan bakal meletakkan PUNB sebagai sebuah organisasi yang dihormati selepas ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment