My Add

Sunday 4 August 2013

Jauhi isu pecah-belah: TPM

Oleh Mohamed Farid Noh

PAGOH, SABTU, 03 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua lapisan masyarakat mengelak daripada membangkitkan isu yang boleh mencetuskan perpecahan sehingga hubungan menjadi retak dan rakyat saling tidak bertegur sapa.

Sambil turut mengingatkan rakyat agar menghargai kejayaan dan pembangunan yang dicapai Malaysia, Timbalan Perdana Menteri berkata, amat penting mengekalkan keamanan bagi membolehkan pembangunan terus dilaksana tanpa gangguan dan rintangan, manakala huru-hara hanya akan menjejaskan keselamatan.

Pergolakan di beberapa negara Islam termasuk Mesir dan Syria perlu dijadikan iktibar terutama oleh umat Islam. Perlu diingat bibit perpecahan yang meretakkan hubungan dalam masyarakat mampu bertukar kepada pergolakan lebih besar jika tidak ditangani.

 Walaupun pembangunan dan kemajuan negara belum sempurna, ia tetap jauh lebih baik berbanding 20 atau 30 tahun lalu. Masyarakat perlu bersyukur negara kita kekal aman, tidak berhadapan pergolakan dan peperangan disebabkan perbezaan ideologi seperti yang berlaku di beberapa negara Islam lain.

Justeru, kita perlu hargai dan jaga keamanan ini supaya hubungan antara masyarakat terus kukuh dan jitu, katanya pada Majlis Tadarus, Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Parit Medan, Bukit Serampang, di sini semalam.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Menteri Pendidikan turut menerima agihan zakat diserahkan Bank Rakyat, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Sapura Holdings dan Amanah Raya Berhad bernilai RM130,000 untuk diagihkan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU). 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta Kedutaan Malaysia di Mesir terus memantau keadaan di negara itu bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia di sana termasuk segala keperluan seperti bekalan makanan untuk mereka sentiasa mencukupi. - BH

No comments:

Post a Comment