My Add

Saturday 10 August 2013

Jawatan kerajaan: Soi Lek sedia dirujuk ke jawatankuasa disiplin MCA

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bersedia dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung jawatan Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang yang masih dipegangnya.

Walau bagaimanapun, kata beliau, ahli MCA lain yang turut memegang jawatan kerajaan juga harus dikenakan tindakan serupa.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk dirujuk ke jawatankuasa disiplin tetapi pemimpin lain seperti Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China), Datuk Teh Kim Poo (Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang), Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (Pengerusi Tourism Malaysia), Datuk Wong Nai Chee (Setiausaha Politik Perdana Menteri), pegawai penerangan serta pegawai peringkat kampung daripada MCA juga harus dipanggil.

"Disebabkan konflik dalaman parti, terdapat pihak yang bising mengenai isu ini walaupun sebenarnya telah diputuskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet di Seri Perdana, di sini semalam.

Beliau mengulas desakan beberapa MCA bahagian khususnya Wangsa Maju yang mahu tindakan diambil ke atas Soi Lek kerana belum melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

MCA sebelum ini meluluskan resolusi untuk tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan sekiranya parti itu gagal memperoleh keputusan yang baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment