Jerebu berterusan: Indonesia nafi tiada tindakan
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Indonesia menafikan dakwaan bahawa negara itu tidak mengambil sebarang tindakan dalam menangani masalah jerebu yang berlaku di Malaysia serta Singapura.
Perkara itu disuarakan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno yang menegaskan Indonesia telah menjalankan pelbagai usaha termasuk mengheret pihak yang melakukan pembakaran hutan ke muka pengadilan.
Malah menurutnya, Indonesia bakal meratifikasikan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (CO5) dalam sidang Parlimen tidak lama lagi.
''Proses ini (ratifikasi) memerlukan persetujuan Parlimen. Sebelum ini kita mahu mengajukan perkara itu bersama fasal berkaitan penjualan kayu haram tetapi terhenti. Kini ia akan dibawakan kembali untuk dipersetujui di Parlimen.
''Walaupun perjanjian itu belum disahkan, kita sememangnya ada melaksanakan usaha lain. Memang benar secara tradisionalnya, penduduk melakukan pembakaran tetapi sudah dilarang pemerintah. Walau bagaimanapun oleh kerana luasnya tanah dan tidak cukup pengawasan (pembakaran), berlaku jerebu,'' katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura dilanda jerebu teruk dan disusuli gelombang kedua jerebu sekitar akhir bulan lalu.
Menerusi perjanjian CO5 yang diumumkan pada 2002 dan dikuatkuasakan setahun kemudian, Indonesia menjadi satu-satunya negara yang masih belum mengesahkan perjanjian itu.
Herman yang juga bekas Kepala Staf Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI) berkata, pihak berkuasa Indonesia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pembakaran terbuka khususnya di ladang-ladang di sekitar Sumatera.
Ditanya sama ada ladang-ladang di Sumatera yang terlibat dengan pembakaran itu dimiliki syarikat dari Malaysia dan Singapura, beliau berkata : ''Ada sembilan syarikat dan kita belum tahu. Tetapi, siapa pun yang bersalah, kita akan ambil tindakan.''
Katanya, setakat ini Malaysia dan Singapura turut memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai titik panas serta membantu memadamkan kebakaran.
Sementara itu, beliau yang pertama kali dilantik sebagai duta berkata, Indonesia dan Malaysia mampu menjadi 'kuasa besar' serantau dengan cara memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang termasuk ketenteraan dan ekonomi.
''Sememangnya ada pihak yang kurang senang kalau kita menjadi rapat tetapi kita perlu positif demi kemajuan Indonesia dan Malaysia.
''Kita tidak mahu perang, kita mahu damai. Masalah pasti ada tetapi mari kita selesai secara baik,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Herman berkata, pihak kedutaan sedang mengendalikan proses pendaftaran pengundi kepada warga Indonesia yang menetap di negara ini.
''Pilihan raya umum (Pemilu) akan diadakan tahun depan dan proses pendaftaran pengundi bagi warga Indonesia di Malaysia akan tamat pada Oktober ini. Kita berharap ramai yang membuat pendaftaran, baik di pejabat kedutaan atau di konsulat-konsulat,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment